Suhu sejuk mula melanda negara

Kuala Krai: Suhu sejuk melanda jajahan ini sejak seminggu lalu menyebabkan ramai penduduk mengehadkan kegiatan, selain memakai pakaian tebal, terutama pada waktu malam.

Penduduk menyifatkan situasi ketika ini sebagai kejadian luar biasa kerana selalunya pada awal tahun, suhu jajahan terbabit kembali panas, selepas negeri dilanda banjir baru-baru ini.

Surirumah dari Kampung Sungai Dala, Rosmanita Zainal Abidin, 42, berkata suhu terlalu sejuk pada waktu pagi, menyebabkan beliau terpaksa menjerang satu periuk besar air untuk kegunaan anaknya mandi sebelum ke sekolah.

Jerang air panas

“Biasanya, anak saya mandi air paip pada waktu pagi tanpa masalah. Namun, sekarang, tengah hari pun air paip masih terasa sejuk seperti dicampur ais, membuatkan anak yang baru balik sekolah enggan mandi.

“Suasana dalam rumah pada waktu malam juga terasa bagaikan dipasang pendingin hawa hingga memerlukan selimut tebal untuk mengurangkan kesejukan.

“Keadaan ini memberi kesan kepada kesihatan suami saya, R Azmi Jaafar, 48, yang mengalami angin ahmar sejak tujuh bulan lalu,” katanya.

Warga tua, Mohamed Mustapha Baharum, 62, berkata cuaca sejuk menyebabkan dia mengelak keluar rumah pada waktu malam dan awal pagi kerana bimbangkan masalah kesihatan diri.

“Suasana sejuk mula dirasai selepas jam 5 petang membuatkan kami bagaikan berada di luar negara seperti yang sering ditonton dalam televisyen,” katanya.

Penduduk Kampung Tualang, Rohaida Mohamed, 36, berkata suasana sejuk dialami ketika ini menyebabkan mereka tidak perlu menghidupkan kipas kerana keadaan terasa seperti menggunakan pendingin hawa.

Pakai stokin, selipar

“Sepanjang masa kalau berjalan dalam rumah pun perlu memakai selipar atau stokin bagi mengurangkan rasa sejuk,” katanya.

Sementara itu, suhu serendah 17 darjah celsius sekitar Kuala Krai, Kelantan dan 19 darjah di Besut, disifatkan tahap paling sejuk pernah direkodkan di Pantai Timur.

Pengarah Meteorologi Terengganu/Kelantan, Jenuwa Husin, berkata penurunan suhu itu disifatkan rekod berbanding suhu biasa dicatatkan pada kadar paling minimum sebelum ini 23 darjah Celsius.

Di Sabah, Pengarah Meteorologinya, Abdul Malek Tusin, berkata fenomena cuaca sejuk sejak lima hari lalu menyaksikan Keningau mencatat suhu terendah 17 darjah Celsius, lebih rendah berbanding tanah tinggi Kundasang pada tahap 20 darjah Celsius.

Katanya, walaupun tidak dilakukan sebarang pengukuran, namun suhu di puncak Gunung Kinabalu, dijangka lebih sejuk berbanding suhu normal iaitu di bawah 15 darjah Celsius.

Cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini mencatatkan rekod suhu terendah iaitu 19 darjah Celsius juga di sekitar Besut, pagi semalam.

Seorang peniaga, Siti Mariam Husin, 54, berkata, sejak perubahan suhu seminggu lalu, dia kini terpaksa memakai pakaian dua lapis dan stokin setiap kali keluar rumah waktu pagi.

Menurutnya, dia dan dua anaknya, Nur Hidayah Hashim, 23, dan Nur Hazira Hashim, 28, terpaksa mandi menggunakan air panas untuk menghangatkan badan pada waktu pagi selain mengalami kesukaran untuk tidur malam.

“Adakalanya saya rasa seperti ada ais di bawah tilam dan untuk menghangatkan badan saya terpaksa guna lebih selimut.

“Pada mulanya saya ingatkan saya sahaja yang merasa perubahan suhu tetapi selepas mendengar perbualan beberapa penduduk di sini barulah saya sedar yang suhu di kawasan kampung semakin sejuk,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Beris Pak Abu, dekat sini, petang ini.

Sementara itu, Nur Hazira berkata, dia diserang demam dan sakit kepala sejak berlakunya perubahan suhu seminggu lalu.

Menurutnya, gejala sama turut menimpa beberapa pelanggan kedai ibunya yang memberitahu mereka juga diserang demam panas dan sakit kepala.

Malah katanya, permintaan terhadap minuman berais juga turun mendadak kerana pelanggan meminta air panas ketika memesan minuman di kedainya.

“Dulu ibu terpaksa membuka kipas apabila waktu tengah hari namun kini terpaksa menutup alat elektrik itu kerana suhu cuaca terlalu sejuk.

Semetara itu, Perlis kini sekali lagi merekodkan perubahan suhu yang agak berbeza daripada biasa walaupun pernah dikenali sebagai negeri yang mencatatkan suhu paling panas iaitu 40.1 darjah Celsius pada tahun 1998

Menjelang hujung minggu ini, suhu di sekitar negeri ini dijangkakan boleh turun sehingga 21 atau 20 darjah Celsius pada waktu malam, tidak seperti suhu biasa iaitu 36 darjah Celsius pada waktu siang dan 24 darjah Celsius pada waktu malam

Berdasarkan ramalan cuaca JMM, suhu sepanjang minggu di kebanyakan kawasan di negeri ini adalah 33 darjah celsius pada waktu siang dan 24 darjah celsius pada waktu malam.

Kesejukan luar biasa itu dijangka berlarutan sehingga Tahun Baru Cina sekali gus membolehkan penduduk negeri itu merasai cuaca tanah tinggi buat sementara waktu.