Suarez umpama ‘‘tikus jalanan yang kotor’’

LIVERPOOL – Pengurus Oldham, Lee Johnson berkata, penyerang Liverpool, Luis Suarez ibarat ‘tikus jalanan yang kotor’, merujuk kepada kelincahan pemain itu ketika beraksi di atas padang.

“Dia adalah pemain yang amat sukar untuk ditangani. Melihat cara permainannya, dia macam tikus jalanan yang kotor.. sangat lincah.

“Permainannya amat tajam dan menakutkan. Saya sangat mengaguminya kerana dia adalah seorang juara. Keghairahannya untuk mencari gol ketika ini jauh lebih tinggi berbanding ketika saya bertemu dengannya sebelum ini,” ujar Johnson.

Komen Johnson mengenai Suarez itu dibuat berdasarkan pengalamannya selama 90 minit berdepan bintang Uruguay itu ketika beraksi dalam satu perlawanan persahabatan menentang Ajax.

Johnson, 32, bermain untuk Bristol City apabila dia berdepan Suarez buat kali pertama dalam perlawanan pra-musim menentang Ajax pada 2009.

“Saya pernah bermain menentang Suarez untuk Bristol City dan masa itu saya rasa saya telah gagal dengan teruknya. Saya masih ingat, saya bertanya kepada rakan-rakan ‘siapa penyerang yang hebat itu?. Ketika itu, namanya belum begitu dikenali. Saya cuma terfikir, siapa agaknya yang terlalu bagus dan sukar disekat, memang kami sukar hendak menanganinya.

“Hari ini, pasukan bimbingan saya akan berdepan dengannya sekali lagi. Bagi Oldham, peluang bermain menentang pemain hebat seperti Suarez adalah sesuatu yang sangat berharga. Seseorang boleh berkata, rantai dia… tetapi saya tahu, ia memang tidak mudah,” kata bekas pemain tengah itu lagi.

Sementara itu, Liverpool dijangka tidak akan merehatkan Suarez apabila berdepan Oldham hari ini, biarpun bintang penyerang mereka itu telah beraksi dalam semua perlawanan liga sejak kembali daripada penggantungan 10 perlawanan.

Malah, Suarez, 26, juga merupakan pemain paling sibuk musim ini kerana turut terlibat dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Uruguay.

“Kalau Brendan (Rodgers) memberitahunya bahawa dia akan direhatkan, saya pasti dia akan bengang dengan saya atau Brendan. Dia hanya mahu bermain, sebab itulah Luis Suarez.

“Anda boleh kata, tengok pemain ini telah digunakan terlalu banyak tetapi cuba anda tanya Luis, dia memang mahu beraksi dalam semua perlawanan,” kata penolong pengurus Liverpool, Colin Pascoe. – AGENSI