Suami kongsi isteri hamil dengan sepupu didakwa

KANGAR: Seorang suami yang memaksa isteri hamil melakukan hubungan seks dengan sepupunya mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di Mahkamah Sesyen di sini, tadi.

Dalam kejadian 1 Januari lalu, si suami turut membantu remaja terbabit merogol mangsa yang sedang hamil selain turut merakam aksi hubungan seksnya.

Tertuduh pertama yang juga suami mangsa mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Keseksaan serta Seksyen 375 Kanun Keseksaan.

Sepupu tertuduh pertama berusia 15 tahun juga turut didakwa dan tidak mengaku bersalah di atas pertuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abdul Rashid Daud.

Suami mangsa tidak dibenarkan diikat jamin manakala sepupunya dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes ialah pada 10 Februari ini.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Fazril Sani Mohamed Fadzil.

“Dia tak patut hidup lagi di dunia ini kerana perangainya lebih teruk daripada binatang,” kata isteri muda yang menjadi mangsa deraan seksual suaminya apabila dipaksa melakukan hubungan seks dengan seorang remaja berusia 15 tahun.

Nora

Malah, dalam kejadian yang berlaku jam 3 petang, 1 Januari lalu, si suami durjana itu turut membantu remaja terbabit merogol mangsa yang sedang hamil apabila wanita berkenaan meronta.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nora, 19, berkata, suaminya turut merakam aksi hubungan seksnya dengan remaja terbabit yang juga sepupu lelaki itu.

“Selepas itu dia (suami) pula melakukan hubungan seks secara paksa dengan saya,” katanya ketika ditemui semalam. – Hmetro