Slovakia pertahankan kejuaraan FIC

SKUAD Bawah 16 (B-16) tahun Slovakia membuktikan kehebatan mereka apabila menjuarai Piala Antarabangsa Frenz B-16 2014.

Tampil beraksi selaku penyandang juara, skuad B-16 Slovakia merakamkan kemenangan 2-0 ke atas skuad B-16 Iran pada aksi final di Stadium Frenz Janda Baik, Bentong, Pahang malam tadi.

Bagaimanapun, kedua-dua gol itu terhasil pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam tempoh 90 minit perlawanan.

Kapten skuad B-16 Slovakia, Martin Macho menjaringkan gol pertama pasukannya pada minit ke-104.

Filip Modorosi menambah gol kedua skuad B-16 Slovakia berselang seminit kemudian, sekali gus memadam sisa-sisa perjuangan skuad B-16 Iran.

Bagaimanapun, pujian juga harus diberikan kepada skuad B-16 Iran yang dibimbing Mostafa Ghanbar apabila menampilkan semangat juang tinggi sepanjang perlawanan.

Skuad B-16 Iran terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain apabila Nima Daghestani Hamid menerima kad merah pada minit ke-65.

Biarpun beraksi dengan sepuluh pemain, skuad B-16 Iran masih mampu memberi tekanan kepada lawan mereka.

Skuad B-16 Slovakia juga boleh dianggap bernasib baik apabila jaringan penyerang skuad B-16 Iran, Reza Shekarighezelhayeh Rahim dibatalkan kerana ofsaid.

Terdahulu, skuad B-16 Slovakia melangkah ke pentas final selepas mengatasi Sporting Lisbon 8-7 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir.

Skuad B-16 Iran pula memadam cabaran Internacional FC dengan kemenangan 3-1 dalam satu lagi pertembungan separuh akhir.

Selaku juara, skuad B-16 Slovakia membawa pulang hadiah wang tunai AS$50,000(RM 160,000) manakala skuad B-16 Iran meraih AS$25,000(RM80,000).

Selaku pemenang tempat ketiga pula, Internacional meraih AS$15,000 (RM48,000) manakala Sporting pulang dengan AS$10,000(RM 32,000).

Pada Piala Antarabangsa Frenz kali ini, saingan Kumpulan A berlangsung di Janda Baik sementara aksi Kumpulan B di Yogjakarta, Indonesia. – Kosmo