Skuad Kim Swee sah bermain di Liga Queensland

Kuala Lumpur: Walaupun ada pihak mempertikaikan perbelanjaan besar FAM untuk menghantar Harimau Muda A beraksi dalam Liga Queensland, Australia, badan induk itu tetap tidak berganjak apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Football Queensland (FQ) semalam.

Menerusi perjanjian itu, Harimau Muda A yang dikendalikan oleh Datuk Ong Kim Swee bakal mengharungi 26 perlawanan membabitkan penyertaan 13 lagi pasukan dalam liga elit peringkat negeri di Australia bermula Mac hingga Ogos depan.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Liga Queensland di anggap destinasi terbaik bagi program persiapan Harimau Muda A mengharungi cabaran di Sukan Asia Incheon September ini.

“Bukan mudah untuk pasukan ini menyertai liga di luar negara dan ini kali pertama selepas Liga Singapura, Harimau Muda A berpeluang mendapat pendedahan beraksi dalam liga di luar negara.

“Bagi saya ini pendekatan terbaik untuk kedua-dua persatuan (FAM dan FQ) bekerjasama dalam bidang bola sepak kerana ia juga membabitkan pertukaran kepakaran. – HMetro