Skandal Presiden Perancis terbongkar

Paris: Sebuah majalah Perancis semalam mendedahkan Presiden Francois Hollande menjalin hubungan sulit dengan aktres Julie Gayet dan menyokong dakwaan itu dengan beberapa gambar untuk mengesahkan khabar angin yang tersebar sejak berbulan lamanya.

Majalah Closer edisi Jumaat itu menyiarkan laporan tujuh halaman mengenai presiden berusia 59 tahun itu yang didakwa curang dengan tajuk “Francois Hollande dan Julie Gayet cinta rahsia presiden.” Tindakan majalah mingguan itu dicemuh Hollande berulang kali dan dia menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pendedahan itu yang disifatkan sebagai serangan hak privasi.

Closer mengulang laporan diterbitkan di pelbagai laman web sejak beberapa hari lalu berkata, Hollande menunggang skuter di sekitar Paris setiap hari untuk menghabiskan malam bersama kekasihnya yang berusia 41 tahun itu.

Hollande dalam satu kenyataan dikeluarkan secara eksklusif kepada media berkata, dia masih meneliti tindakan yang mungkin diambil, termasuk tindakan undang-undang terhadap majalah mingguan berkenaan.

Berita mingguan L’Express bulan lalu melaporkan perkhidmatan keselamatan Istana Presiden semakin bimbang dengan tindakan Hollande yang sering “menghilangkan diri.” Hollande tinggal bersama pasangannya, Valerie Trierweiler, seorang wartawan selepas meninggalkan ahli politik Sosialis, Segolene Royal yang menjadi ibu kepada empat anaknya.

Julie yang muncul dalam satu daripada iklan pilihan raya Hollande pada 2012, membuat aduan Mac tahun lalu mengenai khabar angin hubungan sulit itu yang dikatakannya melanggar hak peribadinya. Julie, ibu kepada dua anak ialah aktres terkemuka Perancis yang sudah membuat lebih 50 penampilan dalam filem.

Dia membawakan peranan utama dalam “Quai d’Orsay,” filem satira pada tahun lalu yang memfokuskan pada Kementerian Luar Perancis. Dia turut muncul dalam filem Shall We Kiss?” dan “My Best Friend”. Jika khabar angin hubungan sulit mereka benar, ia hanya satu lagi amalan tradisi Presiden Perancis dan ahli politik kanan negara itu yang kaki perempuan. – AFP