Shazuan teruja cita-cita besar FAP

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang perasaan kesal buat bintang muda bola sepak negara, Mohd. Shazuan Ashraf Mathhews, sebaik sahaja mengambil keputusan untuk berhijrah dari Kedah ke Pulau Pinang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2014.

Bukan kerana tidak mahu mengenang jasa, namun Shazuan mengakui dia berasa cukup teruja melihat perancangan besar Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) yang berjaya memburu beberapa pemain ternama sekali gus menjadi salah satu pencabar Liga Perdana, musim ini.

Baru berusia 21 tahun, pemain lincah yang mampu beraksi di bahagian sayap kiri dan penyerang ini meletakkan sasaran tersendiri iaitu mahu berada dalam kesebelasan utama selain membantu skuad Harimau Kumbang melayakkan diri ke Liga Super pada musim 2015.

”Perkara utama yang membuatkan saya mahu datang ke sini adalah kerana merasa yakin dengan cita-cita dan perancangan besar Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) bagi menghadapi persaingan Liga Malaysia.

”Setelah berbincang dengan ayah, saya rasa ini adalah masa paling sesuai untuk berhijrah kerana nampak mereka (FAP) cukup serius untuk mendapatkan khidmat saya selain mempunyai sebuah pengurusan yang mantap.

”Melihatkan sejumlah besar ramai pemain berpengalaman dapat ditarik oleh pihak pengurusan, saya rasa keputusan untuk beralih angin ke sini adalah tepat selain memajukan lagi karier saya sebagai pemain bola sepak,” katanya yang ditemui, baru-baru ini.

Shazuan antara pemain yang boleh dianggap terlepas pandang oleh jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee yang dihantui masalah kecederaan pemain sebelum ke Sukan SEA Myanmar, bulan lalu kerana dia mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Syahrul Azwari dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Ketika bersama Kedah, gandingan Shazuan, Baddrol Bakhtiar serta Khyril Muhymeen antara pemain yang menghidupkan jentera tengah Sang Kenari dan kehilangannya pasti dirasai oleh kebanyakan peminat setia Hijau Kuning.

Beberapa muka baharu yang memperkuatkan Pulau Pinang adalah Yong Kuong Yong (Perak), Azizan Baba (Sarawak), G. Jeevanathan (ATM), Zamri Chin (Sime Darby) dan G. Mahathevan (T-Team).

Pulau Pinang memikat dua pemain Korea Selatan untuk mengisi slot pemain import iaitu bekas pemain Jeonbuk Hyundai, Lee Kwang-Hyun dan Gwangju Sangmu, Lee Kil-Hoon selain Hilton Moreira (Brazil) dan Titi Buengo (Angola).

Bakal membuka tirai menentang Sabah pada 24 Januari ini di Stadium Bandaraya, Shazuan meramalkan saingan Liga Perdana tahun ini sukar diramal kerana banyak pasukan mampu muncul pencabar.

”Begitu banyak pasukan dari Liga Perdana akan berbelanja besar seperti Felda United, PDRM, JDT 11 dan Negeri Sembilan, tidak boleh diketepikan Sabah dan Kedah, yang pasti akan memberikan saingan.

”Jadi, bukan satu laluan yang mudah buat kami jika mahu mencuri dua slot tangga teratas atau sekurang-kurangnya empat terbaik bagi bersaing di Piala Malaysia,” katanya. – Utusan