Sepaktakraw: Ahmad perlekeh desakan letak jawatan

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail semalam tampil menyifatkan tuntutan Kelab Sukan, Rekreasi dan Kebajikan Bekas Pemain Sepak Takraw Malaysia (KRKBPSTM) yang mendesaknya meletak jawatan sebagai perkara remeh.

Malah, Ahmad yang memegang jawatan presiden badan induk itu sejak 2003 menegaskan dirinya tidak ambil pusing dengan tindakan KRKBPSTM yang diketuai bekas tekong negara, Rommi Suhendra Norsal menghantar memorandum kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Katanya, tidak perlu baginya untuk mengulas dan memanjangkan isu dibangkitkan KRKBPSTM itu kerana dia banyak tugas yang perlu diselesaikan selepas pulang dari Sukan SEA Myammar 2013.

“Buat apa saya memikirkan perkara kecil itu sedangkan saya banyak kerja lain yang harus dibuat. Saya tidak halang tindakan mereka (KRKBPSTM) kerana itu hak mereka dalam menyuarakan rasa tidak puas hati,” katanya semalam.