Selepas hampir 50 orang dirasuk, Wanita mengilai jam 4 pagi di Port Dickson

Port Dickson: “Lepaskan saya, saya nak menari, jangan pegang saya… tolonglah,” kata seorang wanita berusia awal 20-an yang secara tiba-tiba diserang histeria ketika tidur di dalam sebuah khemah di Batu 4, Jalan Pantai, di sini, awal pagi semalam.

Wanita terbabit yang mengikut teman lelakinya menyertai Pertandingan Bola Sepak Pantai Sepanjang Malam anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), mengejutkan orang ramai yang menyaksikan perlawanan itu apabila diserang histeria dan menari ‘ulik mayang’ pada jam 4 pagi.

Wanita berkenaan yang kemudian meraung sekuat hati dan berlari seperti mengejar sesuatu menyebabkan perlawanan terhenti seketika dan beberapa pengunjung terpaksa menenangkan wanita itu.

Saksi kejadian, Yusri Hassan, 35, berkata, sebelum kejadian dia sedang menyaksikan perlawanan bola sepak yang diadakan sempena sambutan tahun baru 2014.

Katanya, ketika asyik menonton perlawanan, tiba-tiba terdengar suara wanita mengilai seperti dirasuk daripada khemah berhampiran menyebabkan 100 penonton panik.

“Akibatnya, beberapa pengunjung menyerbu ke khemah wanita itu dan menyaksikannya dalam keadaan dirasuk,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Wartawan yang berada di lokasi kejadian membuat liputan perlawanan itu turut terkejut apabila mendapati wanita berkenaan tiba-tiba meracau.

Ada beberapa individu cuba menenangkan wanita itu, tetapi dia meraung supaya dilepaskan kerana ingin membuat tarian ulik mayang.

“Tolong lepaskan saya, jangan pegang, saya nak menari,” rayu wanita berkenaan kepada orang ramai dan kemudian membuat tarian berkenaan.

Bagaimanapun, selepas 10 minit ditenangkan pengunjung selain dibacakan ayat suci al-Quran, wanita berkenaan kembali tenang namun masih lemah.

Dia kemudian dibawa pengunjung wanita lain memasuki kereta sebelum perlawanan bola sepak diteruskan.

Sebelum ini Persembahan kuda kepang dan ulik mayang, dipercayai antara punca hampir 50 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengalami histeria di kawasan perkhemahan dekat Jalan Pantai di tempat yang sama.

Kejadian bermula jam 10 malam ketika dua anggota wanita daripada satu kontinjen sedang mengadakan persembahan sempena Malam Kebudayaan di Himpunan Pertahanan Awam Malaysia Ke-19, tiba-tiba menjerit sebelum pengsan, diikuti beberapa lagi anggota lain menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut.

Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan yang juga sekretariat program, Mejar Lokman Hakim Abdul Rahman, berkata sebaik kejadian itu, pihaknya segera mendapatkan bantuan pengamal perubatan Islam bagi memulihkan mereka yang diserang histeria.

“Kehadiran lima pengamal perubatan Islam berhasil memulihkan keadaan yang terkawal jam 12.30 tengah malam.

Sebahagian mangsa dipulihkan dalam khemah, selebihnya dibawa ke Masjid Jamek Port Dickson di sini,” katanya ketika ditemui di lokasi itu, malam kelmarin.

Seramai 1,300 pegawai dan anggota membabitkan 14 kontinjen seluruh negara menyertai himpunan itu yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu.

Tarian ada unsur seru

Pengamal perubatan dari Pusat Rawatan Islam al-Hadj, Muhamad Nur Hafiz Azmi, berkata kejadian dipercayai berpunca daripada tarian kuda kepang dan ulik mayang yang dipersembahkan kerana mempunyai unsur menyeru makhluk halus.

Ketua Pengarah JPAM, Datuk Sulaiman Keling, berkata mereka yang diserang histeria dipercayai terlalu teruja membuat persembahan, selain penat akibat cuaca panas kerana lokasi yang terlalu hampir dengan laut.

Mangsa histeria yang juga anggota JPAM dari Perlis, Nazar Mohd Amin, 22, mendakwa ketika sedang menari ulik mayang, dia menyedari bayang-bayang di belakangnya dan sebaik menoleh, dia ternampak beberapa kanak-kanak lelaki berpakaian berwarna-warni sedang menari bersama mereka.

“Saya tetap teruskan persembahan, walaupun dalam keadaan takut, namun sempat juga berzikir sebelum pengsan.

Apabila tersedar satu jam kemudian, saya sudah pun berada di dalam khemah dan dikelilingi rakan lain,” katanya.

Menurut laporan, keadaan dapat dipulihkan apabila beberapa pengamal perubatan Islam tampil memberikan bantuan. Sementara itu, pengamal perubatan Islam dari daerah ini, Ustaz Mohammad Salleh menasihatkan pengunjung pantai di daerah ini lebih berhati-hati dan menjaga tingkah laku ketika berada di kawasan berkenaan.

Katanya, ia kerana makhluk halus berada di mana-mana tanpa mengira tempat dan histeria sering berlaku kepada mereka yang gagal mengawal emosi.

“Jika kita terlalu gembira, sedih, takut atau marah, kebarangkalian tinggi untuk dirasuk makhluk halus,” katanya ketika dihubungi, semalam.