Selangor tampil rentak ‘Tika-Taka’ hadapi Liga M

SELANGOR dijangka menyajikan corak permainan menghiburkan terutama kepada penyokong setia skuad Gergasi Merah bagi menghadapi Liga Malaysia musim ini.

Ini kerana Selangor sudah mula mempraktikkan corak permainan hantaran pendek, ‘Tika-Taka’ yang cukup sinonim dengan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.

Pemain tengah Selangor, Abdul Shukor Jusoh memberitahu, ‘Tika-Taka’ yang merupakan corak menyerang dan bertahan dengan menggunakan lebih banyak hantaran pendek berbanding hantaran jauh, menjadi fokus utama Gergasi Merah.

“Jurulatih (Mehmet Durokovic) banyak menerapkan corak hantaran pendek dalam sesi latihan.

“Setiap hari kami akan lakukan latihan hantaran pendek berbanding hantaran jauh.

“Jurulatih seperti mahu kami bermain ala-ala ‘Tika-Taka’ Barcelona. Walaupun mungkin kami tidak mampu semantap teknik hantaran Barcelona, jurulatih mahu kami mengekalkan corak permainan hantaran pendek,” katanya semalam.

Dalam pada itu, Shukor turut memuji persembahan perancang baharu Selangor, Junior Aparecido Guimaro de Souza dari Brazil yang lebih dikenali sebagai Juninho.

“Persembahan Junior dalam sesi latihan begitu menakjubkan sekali.

“Dalam sesi latihan, dia selalu memberikan motivasi kepada rakan-rakan untuk mempamerkan aksi lebih kemas.

“Saya yakin Junior akan memberikan sumbangan cukup penting kepada pasukan musim ini dan tidak lupa juga kepada Andik Vermansah, dia juga memiliki kelebihan dari segi kelajuan.

“Saya berharap dengan Selangor berwajah baharu musim ini, kami dapat merangkul sekurang-kurangnya satu piala. Kami sudah bersedia untuk merealisasikan misi tersebut,” katanya.-Kosmo