Saya sedia jadi penolong Troussier – Kim Swee

PETALING JAYA – Masa depan Datuk Ong Kim Swee kembali menimbulkan persoalan sama ada dia akan terus bertindak sebagai pengendali Harimau Muda A sepenuh masa atau berkemungkinan dilantik sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya apabila bakal ketua jurulatih yang menggantikan Datuk K. Rajagobal diumumkan kelak.

Itu teka-teki terbaharu berhubung arah tuju jurulatih yang berasal dari Melaka itu, malah dia juga mengakui masih belum mendapat kata putus mengenai status kontraknya bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) biarpun sebelum ini Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd. Amin telah memberikan jaminan khidmatnya akan disambung selama dua tahun selaku jurulatih Harimau Muda A.

Walaupun begitu, Kim Swee menyatakan kesediaan untuk menjadi penolong kepada bekas jurulatih Jepun, Philippe Troussier jika itu yang menjadi perancangan FAM, yang dianggapnya peluang keemasan yang sama sekali tidak akan dilepaskan.

“Jika ditanya kepada saya, saya memang bersedia jika itu yang dimahukan FAM iaitu sebagai pembantu kepada Troussier kerana dia seorang jurulatih berkelas dunia dan berpengalaman..sudah tentu saya tidak akan lepaskan peluang tersebut.

“Ini memberikan banyak manfaat kepada saya di dalam karier sebagai seorang jurulatih dan banyak perkara yang saya dapat belajar, namun terpulang kepada FAM.

“Walaupun FAM memberikan jaminan khidmat saya akan disambung selama dua tahun lagi tetapi saya belum menandatangani apa-apa kontrak sama ada selaku jurulatih Harimau Muda A atau bersama skuad kebangsaan.

“Biarlah saya fikirkan dahulu mengenai Harimau Muda A kerana fokus utama adalah persiapan untuk Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, itu yang menjadi keutamaan saya,” katanya ketika ditemui selepas menonton perlawanan pusingan pertama Piala FA antara PDRM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Stadium Petaling Jaya semalam.

Buat masa ini, Kim Swee bertindak selaku jurulatih sementara Harimau Malaya sehingga nama ketua jurulatih baharu diumumkan dan menurut apa yang diperkatakan Hamidin, nama pengendali baharu akan diberitahu selewat-lewatnya pada Februari ini. – Utusan