Saya peminat Ronaldo bukan Messi

SHAH ALAM – Walaupun diberi nama jolokan Messi Indonesia, Andik Vermansah mengakui dia sebenarnya lebih menggemari aksi bintang Real Madrid dan Portugal, Cristiano Ronaldo.

Atas faktor tersebut, bintang berusia 22 tahun yang berasal dari Surabaya itu memilih menyarung jersi nombor tujuh bersama Selangor, nombor yang sama digunakan Ronaldo.

“Tolong jangan samakan saya dengan Messi, itu gelaran yang diberikan oleh media di sana (Indonesia) sedangkan aksi saya masih banyak kelemahan.

“Saya lebih minat Ronaldo sebenarnya, itu sebab saya pilih jersi nombor tujuh bersama Selangor,” katanya ketika ditemui pada hari pertama latihan bersama skuad Red Giants di Padang SUK, di sini semalam.

Andik yang baru pulih daripada kecederaan paha menegaskan, dia memilih Selangor kerana mahu meneruskan kegemilangan yang dicipta oleh dua bekas pemain Indonesia, Bambang Pamungkas dan Ellie Aiboy.

Kegemilangan Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dan Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia antara faktor yang mempengaruhi keputusan Andik Vermansyah untuk menyertai Liga Malaysia bersama pasukan Selangor.

“Sejujurnya saya ada terima tawaran dari dua pasukan lain tetapi hati saya tetap mahu beraksi bersama Selangor.

“Selangor adalah sebuah pasukan yang mempunyai nama besar dalam bola sepak Malaysia dan apabila peluang datang, saya tidak mahu menolaknya,” katanya.

Memiliki kepantasan dan mampu beraksi di mana-mana bahagian sayap, Andik dijangka bergandingan dengan pemain kebangsaan, S. Kunanlan.

Selain Andik, Selangor dibarisi bekas penyerang import Perak, Paulo Rangel, pemain tengah dari Brazil, Junior dan Steve Pantelidis, pertahanan dari Australia.

Dalam masa sama, Andik meminta peminat Selangor agar tidak tersalah anggap mengenai aksinya yang kurang menjadi ketika Sukan SEA di Myanmar pada Disember lalu.

“Sebelum ke Sukan SEA, saya memang sudah mengalami kecederaan namun jurulatih tidak mempunyai pengganti bersesuaian.

“Jadi, saya terpaksa menerima tanggungjawab itu dengan hati yang berat dan itu punca saya gagal bermain baik,” katanya lagi.