Safee Sali kembali berbisa

Safee Sali memberi isyarat yang cukup jelas kepada pengendalinya Cesar Ferrando Jimenez bahawa dia juga layak berada dalam kesebelasan Johor Darul Takzim pada saingan Liga Super nanti.

Safee kembali menunjukkan taring apabila meledak gol penyamaan bertemu kelab Indonesia, Pelita Bandung Raya, pada Selasa.

Ia gol ketiga Safee dalam aksi pra musim JDT selepas menyumbat dua gol ketika bertemu Melaka United, 4 Januari lalu.

Tiga gol daripada dua perlawanan itu dihasilkannya sebagai pemain gantian JDT.

Safee kerap memanaskan badan di bangku pemain simpanan musim lalu dan sekadar menjaringkan 3 gol daripada 16 penampilan.

Musim ini, penyerang berusia 29 tahun itu sekali lagi dijangka berdepan dengan nasib yang sama susulan lambakan pemain di bahagian serangan.

Sementara itu, kapten JDT Aidil Zafuan gembira dengan prestasi pasukannya menjelang sepak mula Liga Super, minggu depan.

Skuad Harimau Selatan itu akan melengkapkan aksi persahabatan terakhir dengan menentang kelab Singapura Home United, Sabtu ini. – Arena