Ronaldo hadiahkan kereta kepada pasukan fisioterapinya

LONDON – Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo bakal meraikan kejayaan memenangi anugerah Ballon d’Or dengan membelikan kereta kepada ahli fisioterapinya.

Akhbar Sepanyol, Marca melaporkan, Pemain Terbaik Dunia berusia 28 tahun itu telah berjanji kepada pasukan fisioterapi di Madrid bahawa dia akan memberi sebuah kereta baharu kepada setiap seorang daripada mereka jika berjaya memenangi anugerah berprestij tersebut.

Menurut Ronaldo, yang turut dikenali dengan jolokan CR7, hadiah tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kepada mereka kerana berjaya memastikan dirinya sentiasa berada dalam keadaan cergas sepanjang tempoh 12 bulan.

Difahamkan pasukan fisioterapi khas, yang ditugaskan menjaga pemain-pemain Real Madrid, termasuk Ronaldo kini sedang memikirkan apakah model kereta yang hendak dibeli seperti yang dijanjikan.

Ronaldo mengetepikan Lionel Messi dan Franck Ribery untuk memenangi anugerah Ballon d’Or di Zurich, Isnin lalu selepas cemerlang meledak 69 gol daripada hanya 59 penampilan, tahun lalu.

Bagaimanapun hatrik yang dijaringkan bintang sayap itu ketika membantu Portugal menumpaskan Sweden dalam playoff Piala Dunia antara detik yang mengangkat Ronaldo membawa pulang anugerah.

Menurut Marca lagi, Ronaldo tidak mengambil ringan setiap janji yang dibuat dan dia pasti akan menunaikanya.

“Dia sering memberi pelbagai ganjaran kepada pasukan fisioterapi kerana membantunya sentiasa cergas dan bertubuh tegap. Antara barangan yang kerap dihadiahkan adalah telefon bimbit, iPads dan jam tangan.

“Bukan setakat itu saja, dia juga sering menjanjikan perkara lain dan kadang kala terpaksa berbelanja sehingga 100,000 pound (RM538,000),” menurut Marca lagi.

Akhbar itu membayangkan kereta Volkswagen Golf bakal menjadi pilihan Ronaldo untuk dihadiahkan kepada pasukan fisioterapi tersebut. – AGENSI