Polis ditembak mati ketika kejar penjenayah

Kuantan: Anggota polis, Koperal Abd Halim Md Ali, 48, yang ditemui mati dengan kesan tembakan di badan dan muka dipercayai akibat terkena peluru penabur dilepaskan penjenayah di Ladang Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Pahang (LKPP) Padang Jaya, Jaya Gading, dekat sini, semalam disifatkan sebagai seorang yang berani dan berdedikasi dalam menjalankan tugas.

Difahamkan, arwah berkhidmat dengan pasukan keselamatan itu selama 30 tahun dan pernah menyertai skuad elit Komando VAT69 sebelum ditugaskan di Balai Polis Jaya Gading.

Arwah meninggalkan seorang isteri, Asmahlaily Jusoh, 50, dan empat anak, Mohd Zainul Ariffin, 23, yang juga kakitangan PERODUA di Rawang, Selangor, Shahrul Muie, 20, seorang juru ukur di Cheras, Kuala Lumpur serta dua masih bersekolah Nurul Huda, 16 dan Nurul Aisyah, 14.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, pihaknya sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa di atas kejadian itu dan berharap mereka tabah menempuh dugaan itu.

Katanya, polis masih berusaha memberkas mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian itu dan operasi besar-besaran memburu suspek giat dilakukan. – HMetro