Piala Dunia 2034: Malaysia Tunggu Restu Semua Negara Asean

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) — Malaysia perlu menunggu keputusan daripada negara anggota Asean yang lain berhubung cadangan bidaan sebagai hos Bola Sepak Piala Dunia 2034, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata perwakilan yang hadir pada Mesyuarat Menteri-menteri Sukan Asean di Laos pada Disember tahun lepas secara dasarnya bersetuju dengan cadangan itu namun mereka perlu merujuk kepada negara masing-masing sebelum mengemukakannya kepada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

Katanya secara prinsip, Malaysia tidak mempunyai masalah untuk membuat bidaan itu memandangkan bidaan Piala Dunia dibuat atas semangat negara-negara Asean.

“Dalam mesyuarat berkenaan, timbalan saya (Datuk M.Saravanan) dan Ketua Setiausaha KBS (Datuk Jamil Salleh) telah membentangkan bagi pihak Malaysia bahawa kita bersetuju supaya Asean membuat bidaan Piala Dunia 2034 dan nada yang sama turut disuarakan oleh perwakilan yang lain.

“Tetapi mereka (negara Asean) perlu mendapatkan keputusan muktamad daripada kerajaan masing-masing (sebelum dikemukakan kepada FIFA),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran untuk meraikan kontinjen negara ke Sukan SEA dan Para Asean 2013, di sini malam ini.

Setiausaha Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Datuk Azzuddin Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata AFF telah menggesa KBS supaya mempercepatkan proses bidaan bersama anggota Asean yang lain sebagai hos Piala Dunia 2034.

AFF bagaimanapun menafikan gesaan tersebut menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam.– BERNAMA