Penyokong Melaka memberontak

MELAKA – Belum pun skuad bola sepak Melaka atau lebih dikenali Melaka United mengharungi cabaran dalam saingan Liga FAM Mac ini, penyokong sudah mula memberontak melihat barisan baharu yang berhasrat ke Liga Perdana musim depan, dilihat semakin goyah.

Kekecewaan mereka bermula apabila tunduk 1-2 kepada Perlis dalam saingan Piala FA yang lalu menyebabkan penyokong Melaka United merasa kurang senang dengan reputasi pasukan itu.

Kemarahan penyokong tidak dapat disimpan lagi gara-gara tewas 0-2 dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan berstatus kelab, pasukan bola sepak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) di Stadium Hang Tuah, Sabtu lalu.

Skuad yang dibimbing jurulatih dari Slovakia, Ladislav Totkovic, 51, bekas pemain kelab FC Tatran Presvoc nyata longlai dan tidak bermaya ketika berdepan SAMB dalam perlawanan tersebut.

Ekoran kekalahan yang tidak dapat diterima itu menyebabkan sekumpulan lebih 30 penyokong fanatik membuat bantahan bagi melahirkan rasa tidak puas hati mereka.

Mereka yang berbaju hijau sambil menutup muka, berhimpun secara aman di tengah padang Stadium Hang Tuah sejurus perlawanan persahabatan menentang SAMB berakhir.

Penyokong nampak marah ekoran kekalahan memalukan itu lantas berhimpun di tengah padang sambil merentangkan sepanduk yang tertera “Masih Ada Politik dalam MUSA (Melaka United Soccer Association)”, “Rasuah”, “Campur tangan dalam pemilihan pemain”.

Bagaimanapun, perhimpunan secara aman itu berlangsung tidak sampai sepuluh minit sambil dikawal oleh polis sebelum mereka bersurai selepas lampu limpah stadium mula ditutup.

Musim lalu Melaka menduduki tangga keenam dalam saingan Liga FAM untuk terus beraksi bersama pasukan-pasukan berstatus kelab buat musim keempat tahun ini.

Bagaimanapun, melalui sentuhan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron yang dilantik sebagai Presidan Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), wajah baharu pasukan itu tampak menyakinkan.

Namun dalam persiapan yang dikatakan mantap dengan sasaran memburu kejuaraan Liga FAM buat melangkah kaki ke saingan Liga Perdana pada 2015 sebaliknya, barisan Melaka United tampak semakin rapuh. – Utusan