Pengganti Rajagobal diumum bulan ini – Subahan

SUBANG – Tanda tanya siapa ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya sama ada warga asing atau anak tempatan, bakal terjawab pada pertengahan bulan ini atau paling lewat pun, sebelum penghujung bulan Januari.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan bekas jurulatih Piala Dunia Jepun 2002 dari Perancis, Philippe Troussier sebagai antara tiga calon warga asing selain tiga anak tempatan yang kini berada dalam senarai pendek persatuan.

“Troussier salah seorang jurulatih yang dikenal pasti. Saya tidak nafikan pengalamannya yang telah banyak membawa negara Afrika ke Piala Dunia. Selain itu, ada juga tiga jurulatih asing Eropah dan seorang dua anak tempatan dalam senarai.

“Namun sama ada jurulatih luar atau tempatan, biarlah selepas mesyuarat Exco (Jawatankuasa Eksekutif) dan Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) yang umum. Kami memang hendak dapatkan seorang jurulatih secepat mungkin bagi perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia (di Yemen, 5 Mac ini).

“Saya rasa dalam dua minggu, pertengahan Januari, InsyaAllah kita akan umum jurulatih baharu yang akan memimpin Harimau Malaya,” katanya pada Jelajah Trofi Piala Dunia FIFA 2014 di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini, semalam.

Kata Subahan, yang juga Exco dan Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM, Datuk Ong Kim Swee kekal sebagai jurulatih sementara kerana beliau perlu meninjau perlawanan Liga Malaysia dan mengenal pasti pemain yang boleh dipanggil bagi latihan pusat skuad negara.

“Kami akan buat latihan pusat pada penghujung Februari dan pada 1 Mac, pasukan negara akan berdepan Filipina bagi perlawanan persahabatan sebelum ke Yemen,” katanya.

Katanya lagi, kedudukan Kim Swee juga bukan masalah besar memandangkan jurulatih Harimau Muda A itu dijangka masih berada dalam perancangan persatuan dalam menyediakan skuad bawah 23 tahun menghadapi Sukan Asia XVII Incheon, September ini.

Sementara itu, penjelajahan trofi Piala Dunia ke 88 buah negara tiba di Malaysia semalam.

Trofi bola sepak paling berprestij itu tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang menaiki pesawat khas dengan diiringi oleh Duta FIFA dan bekas penyerang Manchester United, Dwight Yorke dan Pengurus Bola Sepak Global Coca-Cola, Anna Maria Gazda. – Utusan