Pemain status bintang bukan keutamaan César Ferrando

KETUA jurulatih pasukan Johor Darul Takzim 1 (JDT 1), Cesar Ferrando Jimenez mengakui status pemain bintang bukan keutamaannya untuk menyenaraikan kesebelasan utama bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) 2014 yang bakal membuka tirainya pada 17 Januari ini.

Sebaliknya, pengendali dari Sepanyol itu menjelaskan bahawa fokus utama yang bermain dalam fikirannya ketika ini ialah untuk memastikan JDT 1 mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan yang mereka harungi.

Bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar menjelang perlawanan persahabatan antara Harimau Selatan dengan Pelita Bandung malam ini, Jimenez turut optimis anak-anak buahnya memiliki peluang yang cerah untuk menamatkan kemarau trofi mereka sekiranya mampu mengekalkan konsistensi seperti yang dipamerkan dalam tiga aksi persahabatan sebelum ini.

“Saya tidak akan melihat kepada status (bintang) pemain itu semata-mata, kerana bagi saya ia bukan perkara penting dalam sesuatu pasukan.

“Apa yang saya mahu fokuskan ialah kami perlu mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan.

“Saya jamin setiap pemain pasukan ini akan turun ber juang habis-habisan untuk menaikkan nama JDT 1 dan beraksi lebih baik dalam setiap perlawanan demi penyokong fanatik kami,” ujar Jimenez semalam.

Musim ini, JDT 1 dilabel sebagai pasukan pilihan untuk menggegar Liga Malaysia apabila membawa masuk dua pemain berkelas dunia, Pablo Aimar dan Luciano Figueroa bagi memperkuatkan cabaran yang sebelum ini digalas pemain-pemain kebangsaan seperti Mohd. Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim dan ramai lagi.

 Cesar Ferrando Jimenez

Menjelang aksi persahabatan keempat dengan kelab In donesia, Pelita Bandung di Stadium Tan Sri Hasan Yunos Larkin, malam ini, bekas jurulatih kelab Atletico Madrid itu mengakui beliau bakal menurunkan barisan terkuat bagi melihat tahap sebenar kemampuan pasukannya.

Di bawah bimbingannya, Harimau Selatan telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dalam tiga aksi terdahulu dengan mencatat kemenangan 7-1 ke atas Tampin Rovers, 3-0 ke atas Hougang United dan terbaharu, menang 4-1 ke atas Melaka United FC (Sabtu lepas).

“Bagi saya perlawanan (dengan Pelita Bandung) ini amat penting bagi menilai tahap sebenar pasukan ini.

“Kami masih lagi dalam proses membina sebuah pasukan yang mantap dan aksi malam esok (hari ini) adalah masa terbaik untuk saya menurunkan skuad terkuat yang kami ada,” tambahnya.

Selepas aksi dengan Pelita Bandung, JDT 1 akan turun pada aksi persahabatan terakhir dengan menentang kelab Singapura, Home United FC, Sabtu ini. – BH