Pelan Pembangunan Bola Sepak 2014-2020 ke Kabinet

KUALA LUMPUR 4 Jan. – Pelan Pembangunan Bola Sepak Nasional 2014-2020 akan dibentang kepada Kabinet untuk kelulusan tidak lama lagi, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, pelan tersebut dirangka oleh Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin

Pelan berkenaan memberi fokus kepada pembangunan sukan bola sepak negara dengan menyasarkan pemain berusia antara tujuh hingga 17 tahun, katanya.

“Amat meyakinkan bahawa pelan ini akan menyuburkan DNA bola sepak kita sendiri, termasuk pembinaan karakter dan kekuatan mental pemain sejak kecil lagi.

“Saya diberitahu bengkel selama dua hari yang dilakukan pada Disember lepas sangat berjaya. Kabinet akan menerima pelan ini untuk diluluskan tak lama lagi,” kata Muhyiddin dalam ucapan perasmian Jelajah Trofi Piala Dunia FIFA di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. – Utusan