Padah ‘Hobi’ rakam jiran mandi

Kuala Lumpur: Perbuatan seorang kakitangan lelaki sebuah syarikat insurans yang gila seks hingga sanggup mengintai dan merakam video jiran wanitanya sedang mandi di Kondominium Bayu Tasik 2, Bandar Tasik Permaisuri, Cheras, di sini, terbongkar apabila perbuatan itu dikesan sebelum dia dicekup polis, Sabtu lalu.

Lebih memalukan lelaki berusia 30-an itu nekad melakukan perbuatan itu pada siang hari dengan menggunakan telefon bimbit semata-mata dipercayai mahu memenuhi hobi peliknya yang dikatakan hanya sebagai koleksi ‘suka-suka’.

Dalam kejadian terbaru itu, lelaki yang sudah berkahwin berkenaan sempat merakamkan video selama 14 saat dari tingkap bilik mandi rumah jirannya berusia 20 tahun. Perbuatan lelaki itu disedari mangsa yang kemudian memaklumkan kepada suaminya.

Suami mangsa yang bengang dengan penjelasan isterinya itu turut membuat laporan polis. Hasil laporan polis dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kondominium berkenaan mendedahkan perbuatan seorang lelaki yang juga jiran mangsa yang menetap di blok bangunan sama.

“Saya dipanggil polis untuk membuat pengecaman video yang dirakam suspek dan apabila dilihat, itu sememangnya rakaman isteri saya yang sedang mandi.

FENDI menunjukkan laporan dan rakaman CCTV.

“Malah saya juga terkejut apabila diberitahu, jiran saya itu mempunyai beberapa rakaman video lain dan saya tidak pasti sama ada itu adalah video isteri saya atau jiran-jiran lain.

“Polis juga memberitahu yang lelaki itu sebenarnya meminati isteri saya kerana mungkin menyangka isteri masih bujang dan menyewa sendirian. Malah, rakaman itu bukan untuk diedarkan tetapi demi kepuasan sendiri,” katanya.

Suami mangsa yang mahu dikenali sebagai Fendi, 33, berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah dan bergegas pulang selepas menerima panggilan daripada isterinya mengenai kejadian itu.

Kata Affendi, penahanan lelaki itu mengejutkan penghuni di kondominium itu dan turut mencetuskan kebimbangan adakah mereka juga menjadi mangsa seperti isterinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh mengesahkan kejadian dan memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang.