OKS desak FAM selesaikan isu kontraknya

Kuala Lumpur: Pengendali Datuk Ong Kim Swee berharap kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat bagi memudahkannya untuk merencana persiapan terbaik bagi skuad senior mahupun Harimau Muda.

Selepas dimaklumkan secara lisan oleh badan induk itu November lalu bahawa kontraknya selaku jurulatih Harimau Muda A akan disambung selepas berakhir 31 Disember lalu, beliau juga dilantik selaku pengendali sementara Harimau Malaya bagi menggantikan Datuk K Rajagobal yang tamat kontrak pada tarikh sama.

Bagaimanapun hingga kini masih belum ada hitam putih mengenai pelantikan terbaru itu dan Kim Swee belum pasti kedudukan sebenarnya selepas misi terakhir bersama skuad bawah 23 tahun negara (B-23) di Sukan SEA Myanmar bulan lalu.

“Kalau nak diikutkan saya sekarang sudah tidak memegang apa-apa jawatan lagi kerana kontrak saya sudah berakhir pada 31 Disember lalu dan hingga kini belum ada tawaran rasmi. Cuma berdasarkan mesyuarat Exco FAM sebelum ini saya dimaklumkan kontrak saya akan disambung bersama Harimau Muda A serta menjadi jurulatih sementara skuad kebangsaan.

“Sekarang orang lebih banyak bercerita mengenai perlawanan Harimau Malaya dengan Yaman (kelayakan Piala Asia) tapi sebenarnya kita juga mempunyai misi penting di Sukan Asia (Incheon) pada September ini.  HMetro