Nasib Sathia diketahui esok, Hanya dua Piala FA diawalkan

NASIB pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan serta ketua jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria dijangka diketahui selewat-lewatnya esok.

Kedua-dua jurulatih itu sebelum ini dilaporkan mempertikai mutu pengadilan pada aksi Liga Malaysia (Liga M) yang membuka tirainya pada 18 Januari lalu.

Namun, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak menegaskan, kedua-dua jurulatih itu masih belum terbukti bersalah.

Menurut beliau, buat masa ini kenyataan kedua-dua jurulatih itu masih disiasat.

“Kes itu masih dalam perhatian Jabatan Undang-Undang FAM.

“Mereka (Sathianathan dan Ismail) masih belum terbukti bersalah dan keputusan kes itu dijangka diketahui 28 Januari ini (esok),” kata Taufek semalam.

Terdahulu, Sathianathan mempertikaikan mutu pengadilan ketika The Gladiators tewas 1-2 kepada Sime Darby pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selasa lalu.

Ismail pula berang dengan keputusan pengadil memberikan sepakan penalti kepada Kelantan yang menyaksikan Sime Darby tewas 1-2 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 18 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Taufek membayangkan kedua-dua jurulatih tidak terlepas hukuman jika sebarang kenyataan yang mereka keluarkan itu berbentuk kritikan yang negatif biarpun Artikel 88 telah dipinda.

“Seperti yang saya katakan tadi, kenyataan mereka masih disemak sama ada ia berbentuk kenyataan ataupun kritikan.

“Kalau ada kes, kita akan buat tindakan susulan… jadi tunggu 28 Januari (esok),” katanya.

Untuk rekod, Sathianathan dan Ismail kini disiasat di bawah Kod Tatatertib FAM di bawah Perkara 18.

Jika sabit kesalahan, mereka bakal berdepan hukuman minimum digantung empat perlawanan atau maksimum dua tahun penggantungan.

Dalam pada itu, Ismail bersedia disiasat FAM ekoran kenyataannya sebelum ini.

“Terpulang kepada FAM. Mereka lebih arif dalam hal ini dan sebenarnya, saya tidak mengkritik (FAM). Itu saja saya boleh katakan,” ujarnya.

Taufik bidas Subahan

Drama baru bagaikan wujud dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek Abdul Razak, yang ditegur oleh Naib Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal, tampil mempertahankan apa yang dilakukannya adalah satu prosedur biasa semenjak dahulu lagi.

Di samping itu, Taufek mengatakan kepada Subahan yang beliau tahu sejauh mana bidang kuasanya di dalam FAM sambil mengingatkan bukanlah menjadi satu kesalahan Jabatan Undang-undang untuk mengkaji kenyataan jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan dan Sime Darby, Ismail Zakaria yang menegur kelemahan pengadil.

Subahan

Tambahnya, tidak wajar Subahan memberikan kenyataan seolah-olah pihaknya telah menjatuhkan hukuman dan memberikan penaksiran tersendiri sedangkan pihak Jawatankuasa Tatatertib belum berkata apa-apa lagi dalam soal tersebut.

“Siapalah saya di dalam FAM, saya ini cuma daun sahaja di pokok… cuma menyentuh apa yang saya lakukan seperti mana diperkatakan Datuk Seri, saya hanya meminta Jabatan Undang-undang mengkaji sahaja kenyataan dua jurulatih terbabit, ada kes atau tidak. Ini adalah amalan biasa.

“Jika ada kes, terpulang kepada Setiausaha Agung FAM untuk mengeluarkan surat pertuduhan atau tidak, mana ada sampai tahap saya masuk campur dalam segala urusan, saya tahu bidang tugas selaku Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib.

“Namun, apabila Datuk Seri Subahan bercakap begitu dan begini, saya ingin ingatkan beliau saya tahu batas saya (sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib) dan saya ingin memperjelaskan perkara-perkara ini yang bukan melibatkan insiden semasa perlawanan iaitu seperti kenyataan akhbar akan termasuk dalam kod tatatertib.

“Jika beginilah apa yang disampaikan oleh Datuk Seri Subahan, maknanya kalau saya mahu menjatuhkan sebarang hukuman selepas ini, saya terpaksa merujuk kepada Exco terlebih dahulu sedangkan Jawatankuasa Tatatertib adalah badan bebas.

“Dalam masa sama, kenyataan Datuk Seri Subahan juga seperti telah memberi kata putus terhadap perkara ini yang mahu disiasat, sepatutnya tidak boleh begitu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Subahan dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia pada Ahad lalu memberi jaminan Sathianathan dan Ismail tidak akan dikenakan apa-apa hukuman sambil mempertahankan FAM kini bersikap lebih terbuka dalam menerima sebarang pandangan.

Selain itu, beliau menganggap Taufek tiada kuasa untuk mengarahkan Jabatan Undang-undang kerana hanya Mesyuarat Exco yang dipengerusikan Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM mempunyai hak memberikan arahan.

Piala FA

Sementara itu hanya dua perlawanan pusingan kedua Piala FA iaitu Lions XII bertemu Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang T-Team terpaksa diawalkan aksinya ke Sabtu ini manakala baki enam perlawanan lain kekal pada tarikh asalnya, 4 Februari ini.

Ketua Jabatan Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Shazli Shaik Mohd, semalam mengesahkan bahawa bukan kesemua lapan perlawanan pusingan kedua Piala FA itu terpaksa diawalkan ke 1 Februari.

“Bukan semua. Hanya dua perlawanan itu saja kerana pertama ia membabitkan pertembungan venue dengan aksi Kelayakan Piala Asia 2015 antara Singapura dan Jordan di Stadium Jalan Besar pada 4 Februari dan keduanya, beberapa pemain Lions XII serta dua import JDT (Hariss Harun dan Baihakki Khaizan) terbabit dengan tugasan antarabangsa itu.

“Jadi enam lagi perlawanan tetap berlangsung pada 4 Februari dengan perlawanan Sime Darby bertemu FELDA United di Stadium Selayang manakala PKNS FC bertemu Terengganu mungkin berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Tapi kami masih menunggu lampu hijau daripada pihak stadium berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Selangor beraksi petang

Sementara itu, Mohd Shazli memberi bayangan Selangor akan terus beraksi di sebelah petang sementara menanti Stadium Shah Alam siap dibaikpulih, Mac ini kerana kerja-kerja menaik taraf lampu limpah di di Stadium MBPJ, Kelana Jaya hanya dijangka siap April depan.

Jadual Pusingan kedua Piala FA
Sabtu
Lions XII mln Pahang
Std Jalan Besar, 7.45 mlm
JDT mln T-Team
Std Larkin, 8.45 mlm

Selasa (4 Februari)
Kedah mln Perlis
Std Darul Aman, 8.45 mlm
PBAPP mln PDRM
Std Bandaraya, 8.45 mlm
Kelantan mln Sabah
Std Sultan Muhammad, 8.45 mlm
PKNS mln Terengganu *
Std TAR, Paroi, 8.45 mlm
Sime Darby mln FELDA
Std Selayang, 8.45 mlm
Selangor mln Sarawak
Std MBPJ, 4.15 ptg
* Venue tertakluk pengesahan akhir