Nama keluarga 36 abjad dalam lesen

Honolulu: Seorang wanita Hawaii yang mempunyai nama terdiri daripada 36 abjad akhirnya mendapat lesen memandu dan kad pengenalan sempurna.

Janice Lokelani mempunyai nama keluarga ‘Keihanaikukauakahihuliheekahaunaele’ yang mengandungi 35 huruf ditambah dengan okina, tanda yang biasa digunakan dalam abjad Hawaii.

Dia menerima lesen memandu dan kad pengenalan baru selepas usahanya untuk memuatkan nama penuhnya dalam dokumen berkenaan mendorong Jabatan Pengangkutan Negara menambah bilangan abjad yang boleh tampil pada dokumen terbabit. Janice, 54, semalam berkata, dia gembira kerana dapat membantu menyelesaikan masalah kad pengenalan yang kekurangan ruang untuk mereka yang mempunyai nama yang panjang.

“Kini di Hawaii, kami bukan lagi warga negara kelas kedua disebabkan oleh nama kami yang panjang,” katanya. Lesen memandu dan kad pengenalan Hawaii sebelum ini hanya mempunyai ruang untuk nama dengan 35 abjad. Dasar baru itu membenarkan 40 abjad nama keluarga, 40 abjad untuk nama pertama dan 35 abjad untuk nama kedua dimuatkan dalam lesen memandu.

Janice mendapat nama keluarga Keihanaikukauakahihuliheekahaunaele apabila berkahwin dengan suaminya yang berasal dari Hawaii pada 1992.