Moyes janji United akan bangkit

Manchester, England: Pengurus Manchester United David Moyes yang kini tertekan telah melaungkan amaran anak buahnya akan bangkit selepas kekalahan 1-2 di tangan Swansea City pada pusingan ketiga Piala FA awal pagi semalam.

Moyes menyaksikan United ketinggalan 11 mata dengan pendahulu Liga Perdana dan mereka kini kalah dua perlawanan berturut-turut di laman sendiri buat kali kedua musim ini apabila tumpas 1-2 kepada Tottenham Hotspur di Old Trafford Rabu lalu.

United bertandang ke Sunderland awal pagi esok bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga dan dengan saingan Liga Juara-Juara menjadi satu lagi medan untuk mereka merangkul trofi musim ini, Moyes mahu pemainnya tidak menoleh ke belakang.

“Jika anda beraksi dengan mana-mana kelab dan kalah, ia pasti sukar. Ia lebih sukar kalau anda di Manchester United,” katanya.

“Tapi ini tugas yang harus dipikul. Kami boleh mengatasinya. Kami mempunyai perlawanan besar Selasa ini (awal pagi esok) dan kami akan mempersiapkan pasukan.” Swansea mengesahkan kemenangan hasil tandukan Wilfried Bony pada minit ke-90 selepas Wayne Routledge meletakkan mereka di depan pada minit ke-12 menerusi sepakan lambung sebelum kelebihan itu dipadam oleh penyerang United dari Mexico, Javier Hernandez (tengah).

Swansea tampak mendapat kelebihan dalam pertembungan itu apabila pemangku kapten Rio Ferdinand terpaksa dikeluarkan pada minit ke-75 akibat kecederaan dan penggantinya Fabio da Silva pula dibuang padang kerana mengasari Jose Canas.

Moyes berkata, beliau menganggap tiada sebarang isu mengenai insiden Fabio itu kerana tindakan pengadil Mike Dean dianggap tepat. – AFP