Moyes Akan ‘Bersihkan’ Skuad United

PEMAIN Brazil, Anderson hanya menunggu masa untuk dijual kepada kelab Serie A, Fiorentina bulan ini sebagai sebahagian daripada proses pembersihan oleh David Moyes di Old Trafford.

Pengurus United itu mahu membersihkan sekurang-kurangnya sedozen pemain dari skuad utamanya menjelang penghujung bulan ini dan selain Anderson, nama-nama lain yang dikaitkan dengan perpindahan ialah pemain sayap Portugal, Nani dan pemain terakhir yang dibeli oleh bekas pengurus Sir Alex Ferguson, Wilfried Zaha.

Zaha yang baru dibeli dari Crystal Palace pada hujung musim lalu disebut-sebut akan dipinjamkan atau dijual kepada kelab Wales, Cardiff City yang kini diuruskan oleh bekas penyerang United, Ole Gunnar Solskjaer.

Nani pula khabarnya akan dipinjamkan kepada kelab Portugal, Sporting Lisbon.

Moyes berazam untuk membina semula skuad tua yang diwarisinya daripada Ferguson lebih-lebih lagi barisan pertahanannya yang dibarisi oleh pemain-pemain yang berusia lebih 30 tahun seperti Rio Ferdinand, Nemanja Vidic dan Patrice Evra.

Lain-lain pemain yang tidak begitu menyerlah seperti Alex Buttner, Shinji Kagawa, Javier Hernandez dan Anders Lindegaard turut disebut-sebut akan dipinjamkan atau dijual kepada kelab lain.

Anderson, 25, berhadapan dengan prestasi yang turun naik sejak menyertai United pada harga £17 juta pada 2007.

Musim ini, Anderson didapati mengalami kenaikan berat badan yang berlebihan menyebabkannya dikritik oleh pihak media Britain.

Sejak diturunkan bermain menentang Newcastle pada 7 Disember lalu pemain tengah Brazil itu tidak pernah lagi dipilih oleh Moyes untuk membarisi kesebelasan utama.

Moyes juga dikatakan sudah hilang sabar dengan Nani, 27, sejak kali terakhir dia diturunkan bermain, Oktober lalu.

Kini Sporting Lisbon dikatakan bersedia untuk menerima Nani untuk kembali ke negara asalnya semula.

Zaha, 21, pula dikatakan telah mendesak agar United menjualnya semula setelah mendapati peluangnya untuk bermain semakin tipis di bawah kendalian Moyes.

Dia juga mendapati yang regim latihan Moyes tidak sesuai dengan gaya permainannya.

Zaha disebut bersedia menyertai Cardiff City secara pinjaman bulan ini sehingga selesai musim 2013/14.

“Saya telah cuba untuk memastikan yang saya memberi ruang dan peluang kepada semua yang berada dalam skuad utama tetapi kini saya fikir kami telah sampai ke satu tahap yang memerlukan kami menjual beberapa pemain jika mendapat tawaran yang sesuai,” ujar Moyes.

Penjualan pemain-pemain yang dikenalpasti sebagai tidak lagi menyumbang kepada prestasi United ini akan membolehkan Moyes membuat pembelian baru sebagai suntikan baru kepada skuadnya.

Antara nama yang dikenalpasti ialah Daniele de Rossi, Samir Khedira, Ilkay Gundogan, Cesc Fabregas, Leighton Baines dan Luke Shaw.