Minyak zaitun selamatkan lelaki bogel

Sydney: Seorang lelaki yang tersangkut dalam mesin basuh selepas memasuki peralatan itu dalam keadaan bogel untuk berseronok akhirnya berjaya diselamatkan menggunakan minyak zaitun.

Lelaki dikenali sebagai Laurence, 20, memberitahu media dia sepatutnya terus mandi pada hari kejadian tetapi tiba-tiba terlintas untuk berseronok dalam mesin basuh berkenaan.

Tindakan berkenaan, katanya, menyebabkan dia tersangkut dan terpaksa menjerit meminta bantuan rakannya yang kemudian menghubungi polis serta bomba.

Jurucakap polis Michelle De Araugo berkata mangsa memang tersangkut teruk sehingga tidak boleh bergerak langsung.

“Kami memang sangat bimbang terhadap keselamatan mangsa,” katanya, semalam.

Dalam keadaan begitu, kata Michelle, penyelamat memang bersimpati kerana niat asal Laurence untuk bergurau bertukar menjadi tragedi. Usaha berterusan penyelamat menarik Laurence keluar dari mesin basuh berkenaan gagal sehingga akhirnya seorang daripada mereka mendapat ilham untuk menggunakan minyak zaitun sebagai pelincir.

Hasilnya? Laurence terus menggelongsor keluar selepas mesin basuh itu dibaringkan.

Sementara itu Laurence berkata, penyelamat menggunakan minyak zaitun mahal kegemarannya.

“Namun sebaik menyapu minyak zaitun dan membaringkan mesin basuh saya terus keluar dengan mudah.

“Saya bagai dilahirkan semula,” katanya ketika ditemui. – AP