‘Messi boleh lonjak PSG’

Doha: Zlatan Ibrahimovic percaya apabila Paris Saint-Germain menandatangani Lionel Messi, ia akan dapat membantu kelab itu melonjak ke tahap lebih baik selain menempatkan mereka selaku pesaing utama gelaran Eropah.

Ura-ura di kalangan media Perancis mengatakan skuad dari Paris yang berbelanja besar itu sedang dalam persiapan untuk memecah rekod bidaan mendapatkan perancang Barcelona dari Argentina itu.

Bergelut

Ibrahimovic pernah bermain bersama Messi selama dua tahun ketika di Camp Nou tetapi bergelut menyesuaikan diri bersama penyerang itu. Namun pemain kebangsaan Sweden itu percaya dengan adanya bekas rakan pasukannya dan pemenang empat kali Ballon D’or itu bakal membantu PSG menjadi kuasa besar di Eropah.

“Jika dia dijual sudah pasti seluruh dunia akan cuba mendapatkannya, bukan saja PSG,” kata Ibrahimovic di kem latihan musim sejuk di Doha. “Saya tidak tahu situasi sebenar tetapi saya fikir dia sangat gembira di Barcelona.

“Media mencetuskan perkara ini tetapi hanya dia yang tahu perkara sebenar.

Projek PSG ialah untuk mengimpikan sesuatu yang lebih besar tetapi jika kamu membeli Messi, kamu tidak mengimpikan lebih besar tetapi kamu yang lebih membesar.”

Sejak Ligue 1 mengambilalih, menandatangani pemain seperti Ibrahimovic, Thiago Silva, Lucas Moura dan Edinson Cavani, ia banyak menonjolkan PSG sebagai pesaing utama meraih gelaran Liga Juara-Juara.

Meskipun PSG bergelar juara Perancis dan mendahului Ligue 1 musim ini, Ibrahimovic mahu pasukannya melonjak ke tahap lebih baik. “Saya tidak pernah berpuashati, mahukan kemenangan. Kami berkembang baik dan pantas menuju ke landasan yang diingini.” – Agensi