Menipu nilai sebenar Neymar, Barcelona bakal didakwa

Barcelona: Presiden Barcelona, Sandro Rosell menawarkan diri untuk memberi keterangan di hadapan hakim bagi membantu menyelesaikan kes difailkan ahli kelab berkenaan kontrak penyerang Brazil, Neymar.

Neymar menjadi pemain termahal kelab juara Sepanyol itu selepas mereka mengatasi Real Madrid dalam memancing pemain itu keluar dari Santos pada akhir musim pada harga 57.1 euro (RM248 juta).

Bagaimanapun, butiran terperinci kontrak tidak didedahkan dengan Barca menegaskan kewujudan perjanjian sulit. Ahli kelab, Jordi Cases, yang tidak menerima maklumat dimintanya berkaitan perjanjian berkenaan, mengambil tindakan undang-undang.

Rosell menafikan berlaku penyelewengan dan kelab berang apabila pendakwa meminta hakim membuka perbicaraan untuk kemungkinan berlakunya penyalahgunaan dana.

Akhbar El Mundo mendedahkan harga sebenar Neymar yang dibeli Barcelona ialah 95 juta Euro berdasarkan dokumen sulit perjanjian yang dibocorkan. Dokumen sulit itu mendedahkan butiran harga sebenar yang dibayar kepada keluarga Neymar.

‘Saya percaya bapa’

“Ada dua perkara ingin saya tekankan di sini. Yang pertama, pengesahan sekali lagi, Neymar berharga 57.1 juta euro.

“Kedua, permintaan saya kepada hakim kes ini, panggil saya untuk beri keterangan kerana tiada apa yang hendak disembunyikan. Semuanya mengikut undang-undang dan bersih. Apa saja klausa sulit yang wujud adalah kerana ia diminta oleh pihak sebelah sana.”

Sementara itu Neymar yakin tiada apa yang salah mengenai perpindahannya.

“Saya tahu ramai yang berkata tentang kontrak saya. Saya sudah bercakap dengan bapa saya untuk mengetahui apa yang mereka perkatakan. Bapa saya yang menandatangani kontrak dan dia satu-satunya individu yang saya percaya,” kata pemain 21 tahun itu.

Berita El Mundo juga mendedahkan siasatan sedang dijalankan berkaitan perlawanan persahabatan ‘Leo Messi & Friends’ yang berlangsung di Colombia musim panas yang lepas berkemungkinan diadakan untuk pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dadah.