Menara Tun Razak terbakar, 10 diselamat

SHAH ALAM – Menara Tun Razak yang terletak di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur dilaporkan terbakar petang rabu.

Memetik laporan Astro Awani, pihak bomba mengesahkan berlakunya kebakaran itu seperti yang dilaporkan orang ramai di media sosial.

Menurut Penguasa Bomba, Farid Norizam Jafri yang dipetik berkata, pihak bomba menerima laporan pada jam 4.46 petang dan jentera bomba pertama tiba adalah dari Balai Bomba Titiwangsa.

Bagaimanapun, sehingga jam 7 malam tadi kerja-kerja memadamkan api masih lagi berjalan.

Punca kebakaran masih belum dapat dikenal pasti dan bomba mengesahkan 10 mangsa telah berjaya diselamatkan.

Menurut bomba lagi, lima daripada mangsa yang terperangkap di tingkat 27 bangunan tersebut berjaya menyelamatkan diri, manakala lima lagi diselamatkan bomba dari tingkat 31.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat pemotongan saluran pendingin hawa di tingkat 27, bangunan 36 tingkat itu.

Operasi itu membabitkan 70 pegawai dan anggota serta 12 jentera dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Titiwangsa, Hartamas dan Setapak.