Malaysia mampu ke Piala Dunia – Muhyiddin

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ketibaan trofi Piala Dunia, semalam mungkin menjadi inspirasi seorang budak lelaki di kalangan yang hadir untuk mengetuai pasukan negara dan layak ke kejohanan Piala Dunia buat julung kali.

Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri mengajak rakyat berganding bahu demi meningkatkan kecemerlangan pasukan Malaysia supaya memenangi lebih banyak kejohanan di peringkat antarabangsa.

“Saya yakin trofi boleh dimenangi dan mesti dimenangi untuk Malaysia, oleh rakyat Malaysia,” katanya ketika merasmikan Jelajah Trofi Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Duta FIFA, Dwight Yorke dan Pengurus Besar Serantau Coca-Cola (Malaysia-Singapura-Brunei), Gill McLaren.

Malaysia adalah negara ke-56 dalam program jelajah 88 negara dalam tempoh 267 hari sebelum trofi itu kembali ke Brazil yang akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2014 pada awal Jun depan.

Muhyiddin juga berharap lebih banyak sektor swasta tampil menyokong agenda pembangunan mutu bola sepak negara supaya merealisasikan impian peminat bola sepak tempatan untuk melihat Malaysia layak ke Piala Dunia FIFA.

Katanya, kerjasama pelbagai pihak termasuk sektor swasta mampu merealisasikan matlamat itu, sekali gus meningkatkan kecemerlangan pasukan bola sepak kebangsaan di peringkat antarabangsa.

“Bukan rahsia lagi bahawa peminat bola sepak di negara ini rata-rata kecewa dengan prestasi pasukan kebangsaan ekoran kekalahan tanpa henti yang dialami pada kejohanan antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu rencah kejayaan yang tersirat di sebalik trofi Piala Dunia ditelusuri supaya kegigihan dan disiplin dalam berpasukan dapat diterapkan dalam diri penggiat sukan bola sepak negara.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan menyifatkan ketibaan trofi Piala Dunia itu tepat pada masanya kerana pencapaian daripada bengkel dua hari yang dilaksanakan menerusi Pelan Pembangunan Bola Sepak Nasional 2014-2020 akan dibentang kepada Kabinet untuk kelulusan dalam tempoh terdekat ini.

“Pelan ini akan memberi tumpuan kepada usaha memupuk kegemilangan legasi pasukan bola sepak kebangsaan seawal usia tujuh hingga 17 tahun yang merangkumi pembentukan jati diri dan kekuatan mental pemain,” katanya. BH