Lima Pasukan Bermula Cemerlang Pada Aksi Pembukaan Liga Super 2014

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) — Lima pasukan iaitu Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT) , Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Terengganu dan Kelantan bermula dengan langkah kanan apabila menewaskan lawan masing-masing pada aksi pembukaan Liga Super 2014 Sabtu.

Naib juara musim lepas, Selangor tidak menghadapi masalah untuk menewaskan wakil kelab dari Terengganu, T-Team, dengan kemenangan 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya hasil sentuhan penyudah pemain import dari Brazil, Paulo Rangel, masing-masing pada minit ke-65 dan 72.

Turut mencatat keputusan sama ialah pasukan berstatus bintang, JDT yang mengalahkan Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Baharu hasil ledakan Mohd Amri Yahyah pada minit ke-37 dan pemain import dari Argentina, Luciano Figueroa pada minit ke-87.

ATM turut mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan pendatang baharu, Sarawak, dengan kemenangan 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Dua jaringan skuad ‘The Gladiators’ dijaring penyerang berbisa Marlon Alex James pada minit ke-17 dan Christie Jayaseelan pada minit ke-29.

Dalam pada itu, dua pasukan pantai timur iaitu Kelantan dan Terengganu terpaksa bergelut sebelum mencatat kemenangan tipis ke atas lawan masing-masing di laman sendiri.

Kelantan, yang merupakan juara Piala FA musim lepas, menang tipis 2-1 ke atas wakil kelab Lembah Klang, Sime Darby FC, di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu.

Pasukan pelawat kendalian Ismail Zakaria itu terlebih dahulu mengejutkan skuad ‘The Red Warriors’ menerusi jaringan Mohd Fadzli Shaari seawal minit ketujuh sebelum penyerang import dari Lubnan, Mohammed Ghaddar Mahmoud, muncul wira pasukan tuan rumah dengan meledak dua gol masing-masing pada minit ke-60 dan 80.

Terengganu pula menundukkan satu lagi wakil kelab Lembah Klang, Selangor PKNS FC, dengan keputusan sama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Like Facebook Bazookapenaka di sini untuk semua highlights perlawanan.