Liga M: Perak hantar bantahan rasmi, TMJ beri amaran

Ipoh: Permulaan baik pasukan pilihan utama Liga Super 2014, Johor Darul Takzim (DT) apabila menumpaskan Perak 2-0 bagaimanapun dicemari gelagat liar penyokongnya terhadap penyokong pelawat, malam kelmarin.

Insiden panas di Stadium Larkin itu menyaksikan penyokong Perak dipukul, bas dibaling suar, semua penyokong hanya dapat keluar stadium jam 12 tengah malam serta cermin belakang kereta pengurus dipecah dan dibaling batu. Pengurus Perak, Datuk Azhar Ahmad ketika memaklumkan insiden itu menyifatkannya sebagai penghinaan tahap maksimum yang diterima daripada peminat Johor DT.

Dua penyokong Perak dipukul sehingga pengsan, bas dibaling suar, cermin belakang kereta pengurus pasukan dipecahkan dan semua penyokong hanya dapat keluar dari stadium, pada jam 12 tengah malam.

Itu antara layanan buruk yang diterima penyokong Seladang ketika bertandang menyaksikan perlawanan Liga Super antara skuad itu dengan Johor Darul Tazim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam kelmarin.

Ini penghinaan tahap maksimum yang kami terima daripada penyokong JDT. Mereka bertindak melampau ke atas kami walaupun sudah memenangi perlawanan.

Bayangkan jika pasukan mereka kalah malam kelmarin…saya cukup kesal dan kecewa dengan apa yang berlaku.

Ia langsung tidak melambangkan budaya masyarakat kita. Ini budaya samseng, kata pengurus pasukan Perak, Datuk Azhar Ahmad, semalam.

Berikutan itu, beliau akan meminta Setiausaha Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin menghantar bantahan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai insiden yang mencemarkan bola sepak negara itu.

Layanan buruk

Malah, Azhar berkata penyokong Perak seramai 300 orang yang menaiki enam bas menerima layanan buruk sejak sebelum perlawanan bermula apabila mereka di kepung peminat JDT serta tidak mempunyai tiket untuk memasuki stadium.

Sebenarnya PAFA sudah memaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) mengenai kehadiran 300 penyokong itu dan membuat tempahan tiket untuk mereka.

Mujurlah tindakan pantas pegawai FAM dan pegawai Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dapat menyelesaikan masalah itu dan penyokong berkenaan dapat memasuki stadium, katanya.

Di Johor Bahru, polis menahan tiga lelaki dipercayai penyokong JDT berusia dalam lingkungan 20-an di perkarangan stadium, tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata tiga lelaki itu ditahan oleh anggota polis bertugas selepas mengejar mereka yang disyaki terbabit dalam insiden membaling batu ke arah sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Ketiga-tiga suspek ditahan bagi membantu siasatan. Polis menyiasat insiden itu dari pelbagai sudut kerana mendatangkan bencana, gaduh gempar dan ugutan, katanya.

Sementara itu di Johor Bahru, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi amaran, individu yang mencetuskan kekecohan dan ketegangan ketika menyaksikan perlawanan membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dilarang memasuki Stadium Tan Sri Hassan Yunos, seumur hidup.

Beliau yang kesal dengan insiden kekecohan selepas perlawanan Liga Super membabitkan JDT dan Perak, tengah malam kelmarin berkata, penyokong perlu lebih bersikap profesional dan berdisiplin sama ada ketika berada di dalam atau luar stadium.

Tindakan tegas

“Saya beri amaran kepada segelintir penyokong yang cuba nak cetuskan huru-hara supaya hentikan segera kerana kita akan ambil tindakan tegas.

“Individu yang mencetuskan ketegangan akan diharamkan memasuki stadium seumur hidup,” katanya pada sidang media di Istana Bukit Pelangi, semalam.