Liga M: Jaringan Conti tabalkan Pahang juara Piala Sumbangsih

KUANTAN, 17 Jan  — Pahang memulakan saingan Liga Malaysia musim 2014 dengan langkah kanan selepas menewaskan Lions XII 1-0 pada perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Darul Makmur, Jumaat malam.

Lebih manis kemenangan berkenaan adalah kejayaan pertama bagi jurulatih baru pasukan dari Pantai Timur itu, Ronald Smith yang menggantikan Dollah Salleh untuk membimbing skuad Tok Gajah musim ini.

Kedua-dua pasukan bermula dengan rentak perlahan dan seimbang sekali gus gagal memanfaatkan 45 minit pada babak pertama permainan.

Seawal minit ke-6, Muhammad Sufian Anuar cuba menghadiahkan gol pertama Lions XII , bagaimanapun percubaan di depan pintu gol Pahang itu gagal dimanfaat sepenuhnya.

Pahang, di bawah kendalian jurulatih Ronald Smith, membalas serangan itu pada minit ke-8 melalui rembatan kencang Muhammad Azamuddin Mohd Akil namun gagal membolosi gawang lawan.

Kemasukan penyerang import Pahang iaitu pemain kelahiran Argentina Matias Ruben Conti pada minit ke-14 menggantikan Dickson Nwakaeme juga gagal membantu Pahang mencari jaringan pertama.

Gawang Lion XII sekali lagi diuji pada minit ke-26 apabila Muhammad Azamuddin melakukan rembatan kencang selepas menerima hantaran daripada pemain import Zeshan Rehman.

Kedua-dua pasukan mengekalkan rentak permainan sehinggalah minit ke-37 apabila pemain Pahang, Mohd Zaiza Zainal, cuba mengejutkan lawan sebelum bola yang dihantar terlalu tinggi dan peluang R. Gopinathan pada minit ke-43 tersasar ke bahagian tepi gol yang dikawal Mohd Izwan Mahbud.

Separuh masa kedua, Conti berjaya menggamatkan stadium dengan sorakan lebih 35,000 penyokong selepas menyumbat bola muntah penjaga gawang Lions XII Mohd Izwan dengan leretan mudah di depan pintu gol.

Tuan rumah hampir menambah jaringan pada minit ke-81 menerusi percubaan Conti yang berjaya menumbangkan penjaga gol lawan namun diselamatkan pemain pertahanan Lions XII, Mohammad Afiq.

Sehingga wisel penamat, kedudukan kekal Pahang 1 Lions XII 0.

Piala Sultan Ahmad Shah disampaikan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Mengikut rekod, Pahang memenangi Piala Sultan Ahmad Shah sebanyak dua kali iaitu pada 1992 dan 1993 sejak diperkenal pada 1985.

Barisan pemain:

PAHANG:
Mohd Khairul Azhan (GK), Damion Delano Stewart, Zeshan Rehman, Azidan Sarudin, Dickson Nwakaeme (Matias Ruben Conti), Azammuddin Khail, Mohd Razman Roslan (C), Abdul Malik Mat Arif, Mohd Shahrizan Salleh, Mohd Hadiz Kamal, R Gopinathan.

LIONS XII:
MOhd Izwan (GK), Muhammad Shakir, Mohammad Afiq, Mohammad Isa (C),Quak Jun Yi, Muhammad Hafiz, Mohammed Faritz, Muhammad Sufian, Mohammad Khairul Amri, Muhammad Safuwan, Muhammad Zulfahmi.

Pengadil: Mohd Nafiz Abd Wahab

Highlights