Liga M: Helang Kedah ingin terbang tinggi

KEDAH optimis mampu untuk kembali melakar kejayaan gemilang pada saingan Liga Malaysia (Liga M).

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Mukhriz Tun Mahathir, perkara itu tidak mustahil berdasarkan transformasi besar-besaran termasuk tajaan sebanyak RM15 juta yang diperoleh daripada kerajaan negeri dan beberapa syarikat korporat.

“Sebelum ini timbul masalah tiada peruntukan dan sebagainya yang merencatkan kejayaan pasukan Kedah.

“Namun, dengan peruntukan besar musim ini serta sokongan padu peminat tempatan, kita yakin pasukan Kedah mampu mencipta kejayaan membanggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis memperkenalkan para pemain dan penaja skuad Liga Premier serta Piala Presiden Kedah musim 2014 di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin.

Tambah Mukhriz, pihaknya bersikap realistik bahawa transformasi yang dilakukan dalam pasukan ketika ini memerlukan jangka masa panjang dan tidak akan berlaku dalam sekelip mata.

“Berilah kami masa dan saya yakin dalam tempoh tiga tahun lagi, Kedah akan kembali ke landasan kejayaan seperti yang pernah dicapai suatu ketika dahulu.

Presidennya, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, berkenaan isu logo ada yang setuju dan ada juga yang tidak setuju namun KFA memerlukan perubahan dan perkara itu termasuk dalam pakej tersebut.

Menurutnya, dalam hal itu kerajaan negeri telah memperuntukkan jumlah besar sebanyak RM10 juta.

“Kita hendak supaya pasukan kita mempunyai satu nafas baru, satu imej yang lebih segar dan menampakkan (bayangan) garang apabila menghadapi lawan lain, nama mereka pun garang-garang  macam Lions dan Warriors, dan kita juga tidak kurang garang (nama baru) akan dapat mengalahkan mereka,” katanya.

Logo baharu KFA itu berlatarbelakangkan helang dan diberi gelaran Lang Merah.

Bagaimanapun, Mukhriz  setuju bahawa penukaran logo semata-mata tidak akan menjamin kejayaan namun perlu disusuli dengan kesungguhan dari pihak pengurusan, semua pemain dan termasuklah sokongan padu daripada penyokong Kedah.

“Untuk musim ini, kami mensasarkan untuk berada dalam kelompok teratas Liga Premier, sekali gus layak ke Liga Super.

“Pada masa hadapan, kami yakin untuk terus mencipta lebih banyak kemenangan yang lebih besar termasuk memasuki pertandingan akhir Piala Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, pengendali Kedah dari Australia, David Mitchell berkata, kekuatan pasukannya terletak kepada gabungan antara pemain import berpengalaman dan tenaga muda tempatan.

“Saya yakin dengan kemampuan dua tonggak utama kami iaitu ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar dan Khyril Muhymeen Zambri yang berpengalaman luas dan mampu mampu mengemudi pemain-pemain muda.

“Kami turut diperkuatkan dengan empat tonggak import iaitu Billy Osman Mehmet dari England, Jose Franco Gomez (Sepanyol), Adam Griffths dan Adriano Pellegrino (Australia) yang pastinya menggentarkan pasukan lawan.

Jelasnya, berdasarkan persiapan yang telah dilakukan setakat ini, beliau yakin Kedah mampu mencipta sesuatu kejutan musim ini.

“Bagaimanapun, kami akur dengan saingan sengit yang bakal dihadapi nanti, misalnya pasukan Polis Diraja Malaysia yang turut berbelanja besar musim ini untuk mendapatkan pemain berkualiti di samping mendapat mendapat sentuhan bekas legenda bola sepak negara, Dollah Salleh.

“Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga perlu diberi perhatian. Kesemua pasukan ini juga pastinya berazam untuk untuk berada dalam kelompok teratas liga selain layak ke Liga Super,” katanya.