Liga M: Ghaddar kembali dengan bergaya

PENYERANG import Lubnan Mohamad Ghaddar kembali menjadi wira Kelantan apabila dua jaringannya membantu The Red Warriors ( TRW ) menewaskan Sime Darby 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV semalam.

Tuan rumah Kelantan bermula garang apabila mengasak kubu pertahanan Sime Darby seawal minit pertama menerusi rembatan kencang Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dari luar kotak penalty, namun berjaya ditepis penjaga gol Sime Darby Kamarul Effendi Abdul Rahim.

Kelantan dikejutkan dengan gol pertama pelawat selepas Mohd Fadzli Saari bijak menanduk masuk bola sepakan percuma Dilshod Sharofetdinov pada minit ketujuh permainan.

Tersentak dengan jaringan itu, Kelantan menggandakan asakan dan mendapat peluang untuk menjaringkan gol penyamaan menerusi Francis Forkey Doe pada minit ke-15, namun percubaannya sedikit melepasi palang gol.

Minit ke-28, Forkey Doe sekali lagi hampir menyamakan kedudukan buat Kelantan, tetapi sepakan percumanya menggegar tiang gol Sime Darby.

Sime Darby hampir menambah jaringan kedua menerusi penyerang importnya, Wisdom Agblexo pada minit ke – 54, namun rembatan kencangnya di dalam kotak penalti berjaya ditampan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Mohamad Ghaddar kemudiannya menceriakan 25,000 penyokong TRW apabila bijak menolak masuk bola hantaran lintang Forkey Doe untuk gol penyamaan Kelantan pada minit ke-60.

Forkey Doe mendapat peluang keemasan selang dua minit kemudian, namun rembatanya melepasi palang gol.

Mohamad Ghaddar melengkapkan kemenangan TRW dengan gol keduanya pada minit ke-81 menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain pertahanan Sime Darby, Mohd Firdaus Faudzi. – sports247

Highlights