Liga M berehat bulan puasa, Kelantan & Selangor perlu lebih tenaga

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan merombak jadual perlawanan saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2014 biarpun dilanda kehangatan ‘demam’ Piala Dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, sebaliknya saingan

Liga M 2014 hanya akan direhatkan seketika bagi menghormati bulan Ramadan.

Ini kerana, beliau yakin sambutan penonton terhadap liga tempatan tidak akan terjejas biarpun bertembung dengan pusingan akhir Piala Dunia di Brazil kelak.

“Saingan liga hanya direhatkan sepanjang Ramadan (seperti mana sebelum ini).

“Perbezaan masa di sini dan Brazil juga bukannya sama, jadi saya percaya bulan itu bakal menjadi ‘bulan bola sepak’ buat kesemua peminat,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Tahun ini, tarikh 1 Ramadan 1435 Hijrah bakal disambut oleh umat Islam di seluruh dunia pada 28 Jun iaitu 16 hari selepas tirai Piala Dunia 2014 disingkap di Arena Sao Paulo, Brazil yang menemukan tuan rumah dengan Croatia pada 12 Jun.

Perlawanan akhir Piala Dunia di Stadium Maracana, Rio de Janeiro pula dijadual pada 13 Julai sementara umat Islam dijangka menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 28 Julai iaitu lima hari selepas tirai temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dibuka.

Mengulas lanjut, Afandi yang juga Naib Presiden FAM turut mengesahkan tiada sebarang pindaan jadual liga domestik dibuat menjelang temasya Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan dari 19 September hingga 4 Oktober.

“Ketika itu hanya saingan Piala Malaysia sedang berlangsung, jadi kita akan semak semula jika ia menjejaskan persiapan skuad Harimau Muda A yang akan beraksi di Piala Asia nanti.

“Buat masa ini, kesemua perlawanan kekal berlangsung seperti mana jadual asal,” jelas beliau.

Dua pasukan yang membawa cabaran negara ke Piala AFC tahun ini, Kelantan dan Selangor pasti memerlukan ‘tenaga tambahan’ untuk mengharungi jadual padat di peringkat domestik dan antarabangsa bermula Februari ini.

Sebaik bermula perlawanan pertama Piala AFC pada 25 dan 26 Februari, dua pasukan terbabit akan berdepan 14 perlawanan sehingga 23 April.

Perlawanan itu membabitkan lapan aksi Liga Super dan enam perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC, tidak termasuk saingan Piala FA.

Namun bagi Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah menganggap jadual padat itu tidak akan menjejaskan persembahan Kelantan dan Selangor dalam memberi saingan musim ini.

“Kami sudah mengambil kira dari awal (jadual perlawanan) bagi penyertaan pasukan ke Piala AFC. Saya kira perkara ini (jadual padat) tidak akan memberi masalah.

“Tambahan pula kali ini kami membenarkan pasukan menggunakan empat pemain import,” katanya kepada pemberita pada sidang media semalam.

Afandi yang mempengerusikan mesyuarat JKPT semalam turut mengesahkan semua pendaftaran pasukan dan pemain berjalan lancar selepas tarikh pendaftaran ditutup pada 17 Disember lalu.

Bagaimanapun dari aspek penggunaan stadium, Selangor bakal beraksi di sebelah petang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ) sehingga Stadium Shah Alam siap dibaik pulih pada 1 Mac ini.

Menurut Afandi, Stadium MBPJ tidak melepasi had piawaian pencahayaan lampu 1,000 lux untuk pasukan beraksi di sebelah malam termasuk tiga lagi Stadium UiTM, Stadium Bandaraya Pulau Pinang dan Stadium Hang Jebat.

Tiga lagi stadium itu digunakan oleh pasukan Liga Perdana, UiTM FC, Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang dan KL DRB Hicom.

“Selangor yang menggunakan Stadium MBPJ akan beraksi di sebelah petang namun pihak pengurusan stadium itu sedang berusaha untuk menaiktaraf lampu. Kami akan membuat pemeriksaan lanjut dan jika menepati piawaian, mereka boleh bermain di sebelah malam,” kata Afandi.

Saingan Liga M bermula 17 Januari ini dengan perlawanan pembuka tirai mempertemukan juara Piala Malaysia Pahang dan pemenang Liga Super Lions XII di Stadium Darulmakmur.