Lelaki mengamuk di pasar raya AS, Dua pekerja mati

BALTIMORE – Seorang lelaki (gambar kecil) yang bersenjatakan selaras senapang patah melepaskan beberapa das tembakan di dalam sebuah kedai menjual papan selaju di sini kelmarin yang menyebabkan dua pekerja maut sebelum menembak mati dirinya sendiri.

Serangan sekitar pukul 11.15 pagi (waktu Amerika Syarikat) berlaku di sebuah pasar raya yang sibuk di Baltimore dan turut menyebabkan seorang lagi mangsa cedera.

Pihak polis berkata, motif serangan tersebut masih belum diketahui dan pihaknya turut menjumpai bahan letupan dalam beg penyerang yang dirahsiakan identitinya.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Brianna Benlolo, 21, dan Tyler Johnson, 25, yang bekerja di kedai menjual papan selaju di mana kejadian tersebut berlaku.

Seorang lagi mangsa cedera di kaki akibat terkena tembakan dan dia kini dirawat di hospital.

Ketika kejadian pusat beli-belah tersebut sesak dengan pengunjung dan orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri selepas terdengar bunyi beberapa das tembakan.

Dua pekerja yang ditembak mati

Anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kemudiannya menjumpai mayat penyerang tersebut bersama dua mangsa bergelimpangan di dalam kedai berkenaan.

Menurut polis, lelaki itu, Darion Marcus Aguilar yang bersenjatakan selaras senapang patah melepaskan tembakan secara rambang sebelum menembak dirinya sendiri.

“Kita juga menjalankan pemeriksaan di seluruh bangunan menggunakan unit anjing pengesan bagi memastikan suspek tidak memasang sebarang bahan letupan,’’ katanya. – Reuters