Lelaki bantu mangsa ragut ditikam peragut

Seorang lelaki menerima 16 jahitan di rusuk kiri akibat dicederakan dengan pisau oleh penjenayah yang ditahannya selepas meragut beg tangan seorang wanita berhampiran sebuah kedai makan di Jalan Merbau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, Hobin Siwvoo, 41, ditikam lelaki terbabit yang ketika itu mahu melepaskan diri selepas mangsa menahannya selepas meragut beg tangan seorang wanita berusia 40-an.

Difahamkan, mangsa bersama keluarganya sedang memasuki kedai makan sebelum terdengar jeritan seorang wanita meminta tolong selepas beg tangannya diragut seorang lelaki.

Menurut sumber, mangsa yang kebetulan ternampak lelaki itu melarikan diri bertindak mengejar dan menahannya serta merampas beg tangan itu untuk diserahkan kepada pemiliknya.

Bagaimanapun, ketika mangsa menerangkan kejadian berkenaan kepada orang ramai, suspek tiba-tiba mengeluarkan pisau yang diselitkan di pinggangnya lalu menikamnya.

“Insiden itu menyebabkan mangsa terjatuh dan berlumuran darah sebelum dibawa ke sebuah klinik berhampiran untuk dirawat. Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Miri, di sini, untuk rawatan lanjut manakala suspek melarikan diri.

“Mangsa bernasib baik kerana senjata tajam itu tidak menusuk badannya, sebalik hanya menyebabkan luka dan menerima 16 jahitan,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan kejadian berkenaan di Balai Polis Pusat Miri, di sini.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian sambil memberitahu siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek.