Khairy tak mahu FAM membazir

“PELABURAN dalam pembangunan bola sepak tempatan mungkin lebih menguntungkan daripada berbelanja besar untuk mendapatkan khidmat jurulatih bertaraf dunia buat skuad skuad Harimau Malaya.”

Demikian tegas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin semalam.

Beliau berpendapat, skuad bola sepak negara masih belum mencapai tahap untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik mahu pun Piala Dunia.

“Keperluan untuk jurulatih bertaraf dunia adalah mendesak sekiranya kita sudah layak ke Sukan Olimpik atau Piala Dunia.

“Kalau sekadar untuk meningkatkan prestasi bakat pemain sedia ada, saya rasa lebih baik kita belanjakan duit untuk pembangunan bola sepak. Ini pandangan peribadi saya,” katanya selepas merasmikan Perlumbaan KBS-MAM-SIC Endurance 2014 di Litar Sepang semalam.

Khairy berkata demikian ketika mengulas tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyenarai pendek beberapa ’nama besar’ bagi menggantikan Datuk K. Rajagobal untuk melatih skuad Harimau Malaya.

Difahamkan, antara calon jurulatih yang berada dalam radar FAM termasuk bekas jurulatih Jepun, Philippe Troussier, bekas pengurus kelab AS Roma dari Itali, Zdenek Zeman dan bekas pemain antarabangsa Perancis, Marcel Desailly.

Khairy bagaimanapun berkata, FAM bebas memilih sesiapa sahaja bagi membimbing skuad Harimau Malaya demi meningkatkan mutu bola sepak negara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementeriannya akan menyalurkan RM2 juta kepada skuad bawah 23 tahun negara, Harimau Muda A untuk beraksi di Liga Queensland, Australia.

“Saya dan Datuk Ong Kim Swee (jurulatih Harimau Muda A) ada berbincang mengenai perkara ini dan kita bersetuju menanggung separuh daripada perbelanjaan keseluruhan RM4 juta bagi membolehkan mereka beraksi di liga berkenaan,” katanya.- Kosmo