‘Kekuatan Harimau Malaya bukan 100% pada jurulatih’

KEKUATAN sebenar skuad Harimau Malaya tidak bergantung 100 peratus kepada jurulatih. Demikian pendapat bekas jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu semalam.

Menurut Karathu, kekuatan pasukan terhasil jika skuad tersebut dibarisi pemain berkualiti tinggi.

“Inilah yang perlu kita cari dalam saingan liga tempatan. Jika tiada yang berkualiti, maka ia akan memberi kesan buruk kepada skuad kebangsaan,” katanya.

Dia juga yakin sama ada jurulatih import mahu pun tempatan tetap mengambil masa lama untuk menggilap prestasi skuad Harimau Malaya.

“Jika berlaku pertukaran jurulatih dalam skuad kebangsaan, kita tidak boleh mengharapkan perubahan yang mendadak.

“Apa yang penting sekarang ialah untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti kerana kumpulan pemain seperti inilah yang akan menentukan hala tuju skuad kebangsaan,” jelas Karathu.

Katanya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pasti lebih arif untuk menentukan siapakah individu sesuai untuk dilantik sebagai jurulatih Harimau Malaya yang baharu.

“Kita perlukan 10 pemain berkualiti seperti Mahalli Jasuli atau Norshahrul Idlan Talaha. Barulah kita boleh bercakap untuk memperkuatkan skuad (kebangsaan) kita.

“Saya percaya pengendali baharu Harimau Malaya nanti berdepan kesukaran untuk mencari pemain-pemain berpotensi.

“Buat masa ini, saya nampak prestasi pemain-pemain kita semakin meningkat naik tetapi boleh dikatakan agak terhad.

“Jika tanya pendapat saya, (FAM) lantik jurulatih import mahu pun tempatan sama sahaja, mereka akan tetap menghadapi kesukaran,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, baru-baru ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan bahawa FAM semakin hampir untuk mengumumkan calon baharu yang bakal mengemudi Harimau Malaya dalam tempoh terdekat.

Spekulasi mula tercetus apabila FAM dikatakan sedang menghampiri jurulatih kelahiran Perancis, Philippe Omar Troussier yang pernah membimbing Jepun mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2002.

Buat masa ini, jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai pemangku pengendali sementara Harimau Malaya.

Kim Swee bakal mengemudi skuad kebangsaan ketika berdepan dengan Yemen untuk aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2015 jika FAM masih gagal untuk mengumumkan jurulatih baharu Harimau Malaya. -Kosmo