Juan Pablo Mata: Dari Pemain Terbaik Kelab Jatuh Ke Tahap Paling Rendah Dalam Karier

PEMAIN terbaik Chelsea musim lalu, Juan Pablo Mata boleh mengucapkan selamat tinggal kepada kelabnya selepas Pengurus Jose Mourinho secara berterus terang memberitahu yang dia boleh mencari kelab lain bulan ini.

Selama dua musim yang lalu Juan Mata adalah penjaring terbanyak, pemain terbaik dan bintang pujaan Chelsea tetapi kini dia dapati bukan sahaja menjadi pilihan kedua Mourinho malah bukan lagi pilihan automatik dalam setiap perlawanan.

Dan klimaks kepada permasalahan itu dapat dilihat dalam perlawanan di antara Chelsea dengan Southampton apabila Mata digantikan pada minit ke-53, dia bukan sahaja enggan bersalaman dengan pengurusnya malah bertindak menghempas kerusi di tempat duduk simpanan.

Pemain yang menggantikannya Oscar, bukan sahaja muncul sebagai pengubah rentak permainan malah menjaringkan salah satu daripada tiga gol Chelsea – menunjukkan yang Mourinho telah membuat keputusan yang tepat dengan mengeluarkannya.

Mourinho, kemudian berkata dalam sidang akhbar yang dia tidak berhasrat untuk menjual Mata pada pintu perpindahan yang dibuka semula selama sebulan sepanjang bulan ini tetapi pada masa yang sama tidak akan menghalang mana-mana pemain yang mahu meninggalkan Chelsea.

Umum mengetahui sejak Mourinho menyertai semula kelab London itu, dia tidak menggemari gaya permainan Mata sebaliknya terpesona dengan pemain Brazil, Oscar dan pemain Belgium, Edin Hazard.

Mata menyertai Chelsea dari Valencia hanya pada tahun 2011 dan sejak itu menjadi perancangan utama dan memenangi Piala Liga Juara-Juara Eropah, Piala Europa dan Piala FA Inggeris. – mStar