Jawatankuasa Integriti KFA Pantau Prestasi Pemain Sepanjang Liga M

ALOR SETAR, 13 Jan (Bernama) — Jawatankuasa Integriti Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan memantau pemain pasukan itu yang gagal menunjukkan prestasi baik sepanjang Liga Malaysia musim ini.

Setiausaha Kehormat KFA Aminuddin Omar berkata pemain yang gagal beraksi dengan baik akan diberi surat tunjuk sebab dan amaran kali pertama dan kedua sebelum tindakan susulan diambil.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri berkata jawatankuasa yang diketuai Datuk Shukri Hashim yang juga exco persatuan itu, akan memantau setiap pemain yang beraksi dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang gagal beraksi dengan baik.

“Kalau seseorang pemain itu berpeluang dan berpotensi menjaringkan gol kemenangan tetapi dia tidak berbuat demikian serta menunjukkan prestasi hambar kami akan minta dia beri surat tunjuk sebab kenapa dia gagal.

“Kami mahu pemain kami berdisiplin atas padang dan bermain bersungguh-sungguh,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada Taklimat Integriti bersama pegawai dan pemain Liga Perdana dan Piala Presiden 2014 di Kompleks Belia dan Sukan Kedah di sini Isnin.

Aminuddin berkata jawatankuasa yang diketuai lima anggota itu akan bermesyuarat dengan pengurusan persatuan bagi mengenal pasti kelemahan yang dihadapi pemain dan pasukan itu selepas perlawanan berlangsung.

“Kami akan buat post-mortem dan akan kenal pasti masalah yang dihadapi pemain sekali gus dapat membantu melonjak prestasi pasukan pada masa akan datang,” jelasnya yang menyatakan jawatankuasa itu turut memantau pemain yang mungkin terlibat dalam gejala rasuah bola sepak.

Sementara itu, Aminuddin berkata KFA akan memperkenalkan pemain Liga Perdana dan Piala Presiden kepada peminat Rabu ini di perkarangan Stadium Darul Aman di sini pada pukul 8 malam.

Katanya sesi pengenalan pemain kepada peminat turut dihadiri Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang juga Presiden KFA. — BERNAMA