Isu Rasuah: Khairy puji ketegasan FAM

PUTRAJAYA – Jika sebelum ini Khairy Jamaluddin kerap melemparkan kritikan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tetapi kali ini Menteri Belia dan Sukan itu memuji badan induk tersebut atas ketegasan mereka menangani gejala mengatur perlawanan.

Khairy berkata, beliau gembira dengan cara FAM melaksanakan tugas untuk mencungkil dalang sebenar yang terlibat dalam skandal melibatkan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Tambah Khairy, sekiranya ada pemain yang didapati bersalah maka FAM berhak menggantung pemain tersebut malah tindakan undang-undang melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga boleh dikenakan jika didapati mempunyai unsur jenayah.

“Saya gembira dengan tindakan FAM dalam mencari dalang gejala rasuah melibatkan pasukan Kuala Lumpur sekali gus membuktikan mereka serius dalam usaha menangani gejala tidak bermoral itu.

“Saya harap FAM akan teruskan dengan siasatan agar dapat bukti-bukti yang lebih kukuh berhubung isu rasuah tersebut,” katanya pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kontinjen negara ke Sukan Para Asean, di sini, semalam.

Pada Selasa lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak menegaskan, beliau akan memastikan bukan pemain sahaja yang akan dikenakan tindakan, malah dalang di sebalik skandal mengatur perlawanan juga tidak akan terlepas.

Ketika ini FAM masih lagi meneruskan siasatan dengan beberapa pemain dan pegawai KLFA.

Sementara itu, Khairy berkata, tindakan tegas FAM menjadi isyarat jelas bahawa negara ini menolak sepenuhnya rasuah bola sepak.

“Semenjak saya menjadi menteri lagi saya telah suarakan bahawa isu rasuah dalam bola sepak perlu ditangani sepenuhnya.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa kami tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang terlibat dengan rasuah dalam sukan ini,” katanya. – Utusan