Ibu disyaki subahat bersama teman lelaki bunuh anak

KUALA LUMPUR: Polis yakin dapat menyelesaikan kes penemuan mayat kanak-kanak berusia dua tahun di Paka, Dungun, dalam tempoh terdekat berikutan penahanan tiga suspek selain ibu mangsa, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, suspek utama yang juga teman lelaki ibu mangsa berusia 25 tahun, ditahan di Kuala Paka jam 3.30 petang semalam.

“Polis mencari lelaki ini sejak 18 Januari lalu iaitu sejurus laporan polis dibuat oleh ibu mangsa yang berusia 27 tahun mengenai kehilangan anaknya.

“Susulan penahanan ibu mangsa juga, kita mendapat tahu laporan dibuat sebelum ini adalah palsu dan wanita itu mendakwa dia dipaksa berbohong oleh suspek utama (gambar atas),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, sebentar tadi.

Manoharan berkata, ketika ditahan, semua suspek dalam keadaan khayal dipercayai akibat pengaruh dadah.

“Kita percaya semua suspek termasuk ibu mangsa terbabit dengan dadah dan turut menjadi pengedar secara kecil-kecilan,” katanya.

IBU mangsa diiringi anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk memberi keterangan.

Semalam dilaporkan seorang kanak-kanak perempuan  dua tahun ditemui mati di dalam sebuah rumah teres tidak berpenghuni di kawasan perumahan Taman Permint fasa dua Seberang Paka, Dungun petang Selasa.

Mayat Nursyafiqah Abdullah dua tahun ditemui oleh seorang pengawal keselamatan dalam keadaan mula mereput selain ada kesan darah kira -kira jam 3.30 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K.Manoharan berkata ketika tiba di kawasan itu, pengawal keselamatan berusia 31 tahun itu terlihat pintu utama rumah berkenaan terbuka dan terhidu bau busuk.

Nursyafiqah Abdullah

Dalam pada itu, Nursyafiqah dilaporkan hilang  sejak 17 Januari lalu. Ibunya Rabiatul Adawiyah Mamat, 28, tahun dikatakan meninggalkan kanak-kanak terbabit di dalam sebuah kereta di depan sebuah kedai makan di Kuala Paka, dalam keadaan pintu kenderaannya tidak berkunci  untuk  menemui seorang rakan kira-kira jam 7.30 petang.

Sejurus kembali ke keretanya, beliau yang bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai makan di bandar Paka mendapati anaknya hilang.

Dalam laporan polisnya, Rabiatul berkata, dia sebelum ini penah menerima ugutan bunuh.