Guru ditahan miliki 7 pistol tiruan

KOTA BHARU 4 Jan. – Tindakan seorang guru sekolah swasta menjual pistol tiruan secara dalam talian membawa padah apabila dia ditahan pihak polis di hadapan sebuah kedai runcit di Jalan Pasir Mas-Salor, di sini semalam.

Lelaki berusia 27 tahun itu diberkas bersama tujuh pucuk pistol tiruan dalam Op Cantas Khas yang dijalankan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pada pukul 1.30 petang, hasil maklumat awam.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Idris Abd. Rafar berkata, pistol tiruan tersebut disorokkan dalam but sebuah kereta Perodua Viva milik suspek.

Ketika ditahan, katanya, suspek tersebut mengakui senjata terbabit adalah untuk dijual di internet.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Supt. Idris Abd Rafar berkata, lelaki berumur 26 tahun itu ditahan di dalam sebuah kenderaan di hadapan sebuah kedai runcit di Jalan Pasir Mas-Salor kira-kira pukul 1.30 petang.

“Kita menemui tujuh buah kotak yang bertulis G.29 AIRSOFT GUN. Setiap satunya mengandungi sepucuk pistol bersama kelopak, yang disembunyikan di dalam bonet kereta,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu di sini hari ini.

Beliau berkata, pistol tersebut dibeli dengan harga RM60 setiap satu dan suspek dipercayai mahu menjualnya di laman sosial Facebook.

“Kami mendapati pistol itu dibeli di Sungai Golok, Thailand dan suspek menggunakan orang tengah yang dipercayai warga negara Thailand untuk mendapatkannya pistol tersebut,” tambahnya.

Idris berkata suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

“Suspek dipercayai menjual pistol tiruan itu di laman sosial, Facebook dengan menggunakan nama ‘AIRSOFTMALAYSIA.’

“Kebanyakan pelanggan yang berurusan dengan suspek sebelum ini dipercayai dari Kuala Lumpur dan tujuan mereka (pelanggan) membeli pistol tiruan itu untuk menembak cicak dan bermain Paintball,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini hari ini.