Gambar tersebar, Anggota polis mabuk diambil tindakan

SHAH ALAM – Gempar apabila di laman-laman media sosial tersebar gambar dua anggota polis peronda yang dipercayai mabuk dirakam tertidur dalam kereta peronda yang diberhentikan di bahu jalan.

Empat keping gambar yang disebarkan itu menunjukkan dua orang dalam pakaian seragam polis sedang nyenyak, dengan seorang daripadanya memegang tin minuman keras.

Dalam kereta polis itu juga kelihatan senjata api yang diletakkan di tempat duduk bahagian belakang kenderaan tersebut.

Selain itu, didapati sumber turut memuatkan gambar nombor pendaftaran kenderaan polis tersebut.

Ekoran penyebaran gambar dua anggota polis yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol semasa menjalankan tugas rondaan, kedua-dua identiti anggota tersebut telah dikenal pasti.

Menurut kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan, melalui akaun Facebook Polis Diraja Malaysia  malam ini, kedua-dua anggota terbabit telah ditukarkan serta-merta tempat penugasan dan siasatan lanjut berkaitan insiden itu sedang dijalankan.

Beliau berkata, PDRM memandang serius kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana anggota yang didapati mengabaikan tanggungjawab menjaga keselamatan masyarakat.

“PDRM juga tidak akan melindungi dan berkompromi dengan pegawai dan anggota yang telah melakukan kesalahan yang boleh menjejaskan imej pasukan.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada PDRM sekiranya mendapati mana-mana pegawai dan anggota polis yang melakukan kesalahan dan tidak berintegriti,” katanya. – SH