FIC: Frenz United Malaysia lewat bangkit

Kuala Lumpur: Frenz United Malaysia tidak bernasib baik walaupun menguasai permainan pada perlawanan sulung Piala Antarabangsa Frenz Bawah 16 apabila tewas 2-3 kepada Slovakia di Stadium Selayang, malam tadi.

“Ini baru perlawanan pertama, kita masih ada empat perlawanan dan jika rentak begini diteruskan saya yakin kita mampu pergi ke peringkat seterusnya,” kata pengendali Frenz United, S Balachandran. “Kita bermain bagus secara taktikal dan saya rasa mampu menyaingi pasukan-pasukan lain.”

Bermula garang pada babak pertama, anak buah Balachandran mempunyai sekurang-kurangnya tiga peluang keemasan dalam setengah jam pertama termasuk percubaan kapten pasukan, Muhd Shahrul Akmal Adnan yang merembat tepat ke arah penjaga gol Slovakia, Syaraz Benjamin pada minit ke-10.

Bijak melencong

Pasukan pelawat yang bertungkus lumus mengekang asakan tuan rumah akhirnya memecah kebuntuan menerusi sepakan percuma Lubomir Tupta yang bijak melencong bola menewaskan penjaga gol negara, Mohd Haziq Nazli pada minit ke-42.

Ketika skuad bawah 16 negara cuba mencari gol penyamaan, gawang dikawal Haziq sekali lagi dibolosi apabila Tupta mendapat umpanan mudah di depan gawang hasil hantaran Denis Baumgartner pada minit ke-60. Slovakia terus menambah jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-72 dan Baumgartner mudah menyempurnakannya.

Namun ketika permainan berbaki 10 minit, Frenz United bangkit merapatkan jurang menerusi Kogislewaran yang meledak dua gol termasuk sepakan penalti pada minit-minit akhir.

Pada sebelah petang, dua perlawanan dari kumpulan sama menyaksikan Incheon United dari Korea Selatan menewaskan Daelian Aerbin dari China 2-1 untuk mengisi tangga teratas, manakala Internacional FC dari Brazil dan kelab Turki, Basiktas JK sekadar seri 1-1.

Highlights