FAM sudah ada pengganti Rajagobal

Kelana Jaya: Spekulasi mengenai kedudukan jurulatih kelahiran Perancis Phillipe Troussier bersama Harimau Malaya akan diketahui pada Februari depan.

Walaupun nama bekas jurulatih skuad Piala Dunia Jepun 2002 itu dikatakan calon pilihan untuk menggantikan Datuk K Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih enggan membuat pengesahan buat masa ini.

Namun Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan sudah meneliti senarai lima calon yang disenarai pendek bagi menduduki kerusi panas itu sebelum diumumkan selewat-lewatnya bulan depan.

“Apa yang boleh saya katakan, kami sudah semakin hampir untuk menandatangani kontrak dengan jurulatih baru, sama ada import atau tempatan, kita tunggu dan lihat. Kami mungkin mengumumkan nama calon itu dalam tempoh terdekat atau selewat-lewatnya Februari nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Hamidin juga turut memberitahu bahawa 90 peratus calon yang dipilih itu ialah jurulatih import, jika tidak jadi hanya ada kebrangkalian 10 peratus sahaja.

Sebelum ini melaporkan Troussier yang turut mempunyai pengalaman mengendalikan Ivory Coast, Nigeria, Burkina Paso, Afrika Selatan dan Qatar berada dalam perhatian FAM untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih kebangsaan apabila Exco FAM memutuskan tidak menyambung kontrak Rajagobal.

Selain Troussier yang dikatakan bakal menikmati pendapatan lumayan sebanyak AS$1.52 juta (RM5 juta) setahun daripada FAM jika bersetuju melatih Harimau Malaya, bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic; jurulatih Sarawak; Robert Alberts; bekas jurulatih Liverpool, Alex Miller; bekas pemain Chelsea, Marcel Desailly dan pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee turut dikaitkan dengan jawatan tersebut.

Dalam masa yang sama, Hamidin sempat memperjelaskan tugasan Kim Swee yang telah menandatangani kontrak dua tahun bersama FAM.

Buat masa ini, Kim Swee dilantik sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya bagi menggantikan bekas jurulatih, Datuk K. Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu.

“Kim Swee turut membantu jurulatih baharu Harimau Malaya nanti dan dalam masa yang sama, beliau akan terus kekal bersama Harimau Muda A tetapi akan memantau perkembangan Harimau Muda B dan Harimau Muda C.

“Saya percaya penglibatan Kim Swee dengan jurulatih baharu ini akan memberi peluang kepadanya untuk memantapkan pengetahuan dalam bidang bola sepak,” katanya.

Sementara itu, Hamidin turut memberitahu, pihaknya bakal berkunjung ke Australia untuk memeterai perjanjian terhadap penglibatan Harimau Muda A beraksi di Liga Australia, National Premier League (NPL), minggu depan.

Harimau Muda A akan beraksi di NPL bermula Mac sehingga Ogos depan.