FAM hanya tunggu jawapan Philippe Troussier

Kuala Lumpur: PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah dikatakan telah bersetuju melantik Phillipe Troussier sebagai jurulatih baharu Harimau Malaya.

Begitupun, ia kini bergantung kepada Troussier sama ada mahu menabur khidmat di Malaysia atau memilih Tunisia sebagai destinasi baharunya.

Selain FAM, Troussier dilaporkan telah mendapat tawaran lumayan daripada Persatuan Bola Sepak Tunisia.

Begitupun, kini timbul khabar berita apabila Sultan Ahmad Shah telah memberi ‘lampu hijau’ untuk melantik Troussier sebagai pengganti Datuk K. Rajagobal yang telah tamat kontrak pada 31 Disember lalu.

Semuanya kini bergantung kepada kesediaan Philippe Troussier sama ada mahu menerima tawaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas badan induk bola tanah air itu bersedia berbelanja besar bagi mendapatkan khidmat jurulatih Perancis itu.

Dalam satu pertemuan dengan wakil FAM di Singapura pada November lalu, Troussier menyatakan minat untuk mengambil alih tugas ketua jurulatih kebangsaan serta mengemukakan beberapa program bagi membantu memantapkan semula Harimau Malaya.

Menurut sumber dalaman FAM, tiada pertemuan di antara Presiden FAM Sultan Ahmad Shah dengan bekas jurulatih skuad Piala Dunia Jepun 2002 itu di London baru-baru ini namun Troussier sememangnya calon utama bagi menggantikan Datuk K Rajagobal yang tamat kontrak pada 31 Disember lalu.

“Tiada sebarang perbincangan antara Tuanku Presiden dan Troussier di London seperti dilaporkan sebelum ini. Pertemuan wakil FAM dengan Troussier sudah diadakan di Singapura kira-kira dua bulan lalu dan daripada pertemuan itu sememangnya beliau menyatakan minat untuk membimbing skuad kebangsaan.

“Dalam mesyuarat FAM sebelum ini, Tuanku Presiden dan juga ahli Exco sudah bersetuju untuk melantik Troussier dan tiada nama lain dibangkitkan selain namanya dalam mesyuarat itu. Sekarang FAM kena berusaha untuk mendapatkan Troussier kerana kemungkinan beliau juga mendapat tawaran daripada Tunisia,” katanya ketika dihubungi semalam.

“Sekarang duit bukan masalah bagi FAM kerana mereka akan berusaha mendapatkan tajaan. Kini ia terpulang kepada Troussier sendiri.

“Troussier telah menyatakan minatnya untuk datang ke Malaysia kerana percaya pengalaman bersama pasukan di Asia akan membantu meningkatkan lagi karier kejurulatihannya,” jelas sumber berkenaan.

Selain Troussier, jurulatih AS Roma, Zdenek Zeman; bekas jurulatih Liverpool, Alex Miller; bekas pemain Perancis, Marcel Desailly dan bekas jurulatih China dan Uzbekistan, Bob Houghton dikatakan berada dalam radar FAM.